PKPD Selangor sebulan, 14 hari tak cukup

PKPD Selangor sebulan, 14 hari tak cukup. Kerajaan Selangor membayangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di negeri itu bukan dua minggu tetapi boleh berlarutan sampai sebulan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan pelaksanaan PKPD termasuk di Kuala Lumpur dicapai menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) di peringkat pusat bersama Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Menurut beliau, langkah drastik itu sudah pasti memberi kesan kepada rakyat secara keseluruhan dan kerajaan negeri akan menilai kesan tersebut seterusnya memberi bantuan.

“Kalau panjang sangat pun, maksimum adalah sebulan. Itu adalah pandangan awal dan saya lihat peniaga-peniaga kecil kalau ada bantuan nanti kita akan umumkan nanti sebab saya sedang menilai juga berapa lama PKPD,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Amiruddin memberitahu, sebagai persediaan malam kelmarin, beliau mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak bagi membincangkan dan menilai berhubung pelaksanaan PKPD.

“Pertemuan tersebut juga sebab kita hendak selaraskan keputusan pelaksanaan pentadbiran kerajaan, keselamatan dan logistik sempena pelaksanaan PKPD.

“Yang pasti sektor perindustrian di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), macam biasa ada bidang yang dibenarkan seperti makanan dan minuman, saya pasti senarai itu sudah ada ataupun akan ada senarai baharu,” kata beliau.

Mengulas lanjut, kata Menteri Besar itu, ketika tempoh PKPD ini dijangka masih ada beberapa sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tidak seperti pelaksanaan PKP 1.0 tahun lalu semua sektor ditutup terus.

“Kalau dahulu semua tutup, mungkin kali ini kita benarkan sebahagian, tetapi sektor ekonomi tidak berjalan sepenuhnya seperti mana berlaku sekarang ataupun sampai 60 peratus ditutup,” kata beliau.

Mengulas penularan wabak di negeri itu, Amirudin tidak menolak peningkatan kes harian disumbang oleh pelaksanaan saringan percuma di negeri itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, saringan tersebut penting bagi mengelak penularan tanpa diketahui dalam komuniti.

“Saringan percuma memang sebahagian faktor pertambahan kes, namun lebih baik daripada jangkitan itu merebak tanpa pengetahuan. Yang pasti kini adalah kebimbangan kita terhadap peningkatan kluster-kluster yang melibatkan tempat kerja yang tinggi.

“Sebab itu saya percaya langkah-langkah drastik perlu dibuat walaupun kes sporadik banyak di Selangor, tetapi kemungkinan bermula di tempat kerja sebelum merebak ke semua tempat,” jelasnya.

Kelmarin, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di Selangor melibatkan 38 kawasan di bawah kesemua lapan daerah dan 14 lokaliti di Kuala Lumpur.

Selangor mempunyai 6.4 juta penduduk manakala Kuala Lumpur kira-kira 1.9 juta penduduk. Semalam, Selangor terus mencatatkan angka jangkitan baharu tertinggi iaitu 2, 907 kes dan diikuti Kuala Lumpur 637 kes daripada jumlah keseluruhan jangkitan 6,982 kes pada hari tersebut.

Dalam pada itu, Pengerusi Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad sependapat dengan Amirudin bahawa tempoh PKPD kemungkinan diteruskan sehingga sebulan kerana tempoh 14 hari tidak cukup untuk melandaikan lengkungan graf jangkitan.

DZULKEFLY AHMAD

“Dua minggu memang tak cukup, itu adalah tempoh jangkitan bagi satu generasi. Kena ingat kejadian kluster Sri Petaling tahun lepas, berapa generasi? Sembilan ke 10 generasi,” kata beliau ketika dihubungi.

Sementara itu, satu sumber memaklumkan, PKPD tidak perlu dilaksanakan di seluruh Kuala Lumpur malah perintah tersebut cukup sekadar dilakukan secara bersasar di beberapa lokaliti tertentu.

Sumber itu memberitahu, ini kerana situasi di Kuala Lumpur berjalan sebagaimana ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang ketika ini masih berada dalam fasa satu.

Beberapa lokaliti di Kuala Lumpur yang dikenakan PKPD ialah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Semarak, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Flat Seksyen 2 Wangsa Maju, Flat Seksyen 1 Wangsa Maju, Kampung Padang Balang, Taman Koperasi Polis (Fasa 1 & 2) , Flat Sri Sabah, Kampung Puah.

Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas ∙ Flat Desa Pandan (Termasuk Baiduri & Delima), Kampung Batu Muda, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Bandar Baru Sentul dan Taman Ikan Emas.

PKPD Selangor sebulan, 14 hari tak cukup


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Giliran Naim Daniel hentak kenyataan Nik Abduh?

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker