Ratusan lembu mati di Dungun kerana harimau

Ratusan lembu mati di Dungun kerana harimau

Dungun: Sebanyak 240 ekor lembu milik penternak di Felda Kerteh 4, dekat sini, ditemui mati akibat serangan harimau sejak 2019 hingga 17 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, pihaknya percaya tindakan harimau itu semata-mata untuk mengajar anak-anaknya memburu.



Menurutnya, sebahagian besar lembu yang ditemui mati terdapat banyak kesan cakaran di kepala, badan dan belakang tetapi tidak dimakan.

“Kamera infrared yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merakam ibu harimau bersama empat anaknya yang berusia sekitar dua tahun.

“Berdasarkan rakaman itu, kita percaya ibu harimau itu hanya mengajar memburu kepada anak-anaknya dan setakat ini tiada laporan haiwan itu menyerang peneroka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dr Azman berkata, di kawasan Felda Kerteh 4 itu terdapat kira-kira 1,000 ekor lembu membabitkan 60 penternak.



1

SEBAHAGIAN lembu yang diternak di kawasan Felda Kerteh 4.

“Kita percaya lembu yang diternak secara integrasi dalam ladang menarik kunjungan pak belang ke kawasan itu.

“Kawasan ternakan itu terletak berdekatan dengan hutan dan kita percaya ada berbelas ekor harimau di hutan itu,” katanya.



Katanya, kesan daripada serangan harimau itu menyebabkan penternak mengalami kerugian yang besar.

“Saya bersama Perhilitan serta beberapa agensi kerajaan lain sudah mengadakan perjumpaan dengan penternak bagi mencari tindakan penyelesaian.

“Unit khas Perhilitan sudah mengambil langkah memantau kawasan ternakan 24 jam termasuk memasang kamera dan perangkap, “katanya.

Dr Azman berkata, hasil pertemuan dengan penternak terbabit, pihaknya mengambil keputusan mengehadkan kemasukan penduduk ke kawasan itu.



“Masyarakat luar juga dinasihatkan supaya tidak pergi berkelah ke kawasan air terjun yang terletak berhampiran dengan kawasan itu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap semua penternak dapat mengurung ternakan sebelum waktu senja.

“Kerajaan negeri juga bersetuju membantu penternak yang kerugian melalui Tabung Bencana Pertanian,” katanya. HM

Ratusan lembu mati di Dungun kerana harimau




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tiada internet, pelajar ikuti kelas ditemani buaya



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker