Menteri dengan mee segera

Menteri dengan mee segera

Oleh Mohsin Abdullah
Bila kita bercakap pasal mi segera kita akan sebut “Maggi”. Walaupun mungkin yang dimakan “Indomie” atau “Mamee” dan lain-lain. Begitu kuatnya jenama “Maggi” di negara kita sehingga ia sinonim dengan mee segera.

Mengapa? Mungkin kerana “Maggi” sampai dulu di negara ini mendahului jenama lain. Mungkin kerana kita kenal “Maggi” sebelum kita kenal mi segera yang lain. Saya kenal “Maggi” pada 1968 kalau tak silap. Masa belajar Tingkatan 1. Hampir setiap minggu makan “Maggi mee”. Hanya ada perisa ayam ketika itu. Sepeket 50 sen.

Boleh dikatakan kita semua sudah menjamah mi segera terutamanya “Maggi”. Daripada budak-budak, golongan dewasa serta orang tua. Daripada pelajar, pekerja, orang tak ada kerja, hilang kerja, suri rumah hingga lah ke CEO. Malah pak menteri.

Azmin Ali pernah menaik muat gambar di media sosial ketika menikmati mee segera. Azmin yang merupakan menteri kanan dalam pentadbiran Muhyiddin Yassin tersenyum ketika bergambar dengan mee segeranya.

Tidak lama kemudian, Ismail Sabri Yaakob, juga menteri kanan dalam pentadbiran Muhyiddin, juga bergambar menjamu selera dengan mee segera.

Wee Ka Siong, menteri pengangkutan pun tumpang. Makan mee segera depan kamera dan hantar ke media sosial. Ada lagi menteri makan mee segera?

Ada. Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa. Berselera dengan semangkuk besar mee segera. “Shoot” dan “post” ke media sosial.

Tak pasti mee segera apa yang mereka makan. “Maggi” atau jenama lain. Tetapi rakyat anggap pak menteri makan mee Maggi. Seperti disebut tadi “Maggi” sinonim dengan mee segera.

Mungkin pihak Maggi boleh terbitkan iklan untuk uar-uarkan produk mereka makanan kegemaran menteri. Tetapi saya rasa tidak akan berlaku. Sebab rakyat amat marah dengan gelagat pak menteri. Lihat sahaja komen di media sosial kita akan tahu rakyat meluat.

Dalam keadaan dewasa ini yang menekan, ramai kata pak menteri “ngada-ngada”.

Lalu pelbagai kata-kata keras, juga sinis, pedih, dan tajam dikeluarkan. Tidak perlu saya ulangi apa yang sudah dan masih diperkatakan.

Yang ingin saya tanya ialah mengapa si menteri makan mee segera, ambil gambar, dan hantar ke media sosial?

Ada yang syak itu semua dilakukan untuk membolehkan pak menteri “membuktikan” kepada rakyat mereka juga sama seperti mereka, makan apa yang rakyat makan. Maksudnya “I am one of you” dan bukan elitis.

Berdasarkan reaksi marah yang tercetus jelas “strategi” (jika ia sesungguhnya strategi untuk meningkatkan imej) tidak berjaya.

Mengapa rakyat tidak “termakan”? Kerana ramai percaya ia tidak realistik. Bagi mereka, menteri boleh sahaja memesan makanan dengan cepat. Ada pegawai serta pembantu yang boleh pergi beli atau memesan agar makanan dihantar segera ke pejabat menteri. Makanan yang lazim dimakan pak menteri. Tidak perlu makan mi segera.

Tetapi mungkin kali ini pak menteri mahu ubah selera? Mungkin tetapi pada ketika rakyat sedang marah kerajaan (kita tahu mengapa, tidak perlu dijelaskan di sini) langkah menteri dengan mi segera dilihat “sumbang”. Apatah lagi dikatakan ada menteri yang bergambar memakai jam tangan jenama mewah yang mahal harganya.

Lantas jika pak menteri mahu menonjolkan imej sederhana, ia sukar diterima ramai. Apatah lagi jika jam tangan diambil kira. Malah yang tidak berjam tangan mahal juga tidak dilihat sebagai “simple”.

Perlu diingat apa yang dihuraikan ini kesimpulan komen rakyat marhean di media sosial. Umumnya ramai berpendapat gambar menteri makan mi segera “photo op” atau peluang bergambar semata-mata.

Untuk bercakap lanjut, elok kita bertanya mengapa kita sendiri makan mi segera? Jawapan kita mungkin boleh buat kita tahu mengapa menteri pun makan mi segera.

Ada antara kita – rakyat biasa – makan mi segera kerana memang kita suka. Ada yang berbuat demikian kerana ia murah dan kita kesempitan wang. Apa lagi waktu ini.

Dulu pelajar kerap dikaitkan dengan keadaan begitu. Sama juga anak bujang yang baru mula kerja di ibu kota. Tetapi sekarang sejak Covid-19 melanda ramai yang “masuk” ke dalam golongan ini. Adakah menteri makan mi segera juga kerana ia murah dan menteri kesempitan wang? Kita tahu jawapannya.

Beralih ke satu lagi sebab kita makan mi segera. Ia senang dimasak sedap dimakan. Apabila kita kesuntukan masa mengejar rezeki, kita mesti makan cepat. Mi segera boleh dikatakan makanan segera.

Pak menteri juga sibuk. Atau itulah gambarannya. Mereka juga mengejar masa untuk melaksanakan bermacam tugas. Perlu hadir mesyuarat, pertemuan, perlu ke sana ke sini. Oleh itu mereka juga terpaksa makan dengan cepat. Mi segera lah jawabnya.

Saya akui jika itu sebabnya menteri makan mi segera maka ia boleh diterima. Kerana mengejar masa maka menteri makan mi segera seperti kita rakyat biasa.

Cuma makan je lah. Tidak perlu ambil gambar. Serahkan amalan ambil gambar dengan makanan kepada anak-anak muda. Pak menteri bukan muda lagi. Hanya sedikit muda daripada saya.

Kalau nak juga ambil gambar dengan mi segera ambillah dan hantar kepada isteri, anak, dan keluarga. Tidak perlu dimuat naik di media sosial untuk tular. Meskipun saya tahu orang politik kena “iklan” diri sendiri.

Namun letak gambar makan mi segera inilah akibatnya. Dimarah dan dimaki, dipersenda rakyat yang sedang marah. FMT

Menteri dengan mee segera


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Kibar #BenderaPutih Jika Perlu Bantuan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker