Akui kegagalan, ubah pendekatan kekang Covid-19, badan pemikir beritahu kerajaan


PETALING JAYA: Sudah tiba masanya kerajaan mengakui mereka gagal dalam pendekatan “satu dasar untuk semua” dalam mengawal penularan Covid-19, sebaliknya perlu merangka pendekatan bersasar, kata Pusat Pendidikan Pasaran.

Badan pemikir itu berkata, jumlah kes harian baru-baru ini menunjukkan Malaysia membuang masa setahun akibat kedegilan kerajaan yang meneruskan langkah tidak berkesan seperti perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Kami menggesa kerajaan mengakui secara terbuka pendekatan pembendungan berdasarkan satu dasar untuk semua yang dilaksanakan ketika ini telah gagal.

“Sudah sampai masanya untuk menyedari kita memerlukan strategi bersasar seperti disarankan Deklarasi Great Barrington,” kata ketua pegawai eksekutifnya, Carmelo Ferlito dalam kenyataan.

Deklarasi ini adalah petisyen yang ditandatangani pakar kesihatan dari seluruh dunia meminta perlindungan difokuskan kepada kumpulan berisiko tinggi, sementara golongan tidak rentan meneruskan kehidupan mereka ketika pandemik Covid-19.

Ferlito berkata, pendekatan perlindungan bersasar akan membolehkan negara berjimat dari segi sumber dalam subsidi umum dan melabur lebih banyak dalam perkara perlu – katil hospital dan penyelidikan untuk rawatan jangka panjang.

Beliau percaya pendekatan perlindungan bersasar akan mempercepatkan pencapaian imuniti dan menyelamatkan nyawa serta pekerjaan.

Katanya, kerajaan perlu memfokuskan jumlah kematian kerana jatuh sakit bukan isu utama, sebaliknya cara untuk terus hidup.

“Dengan kadar pesakit pulih adalah 99.63%, Malaysia menunjukkan pencapaian baik. Tetapi, ketika ini, kita perlu fokus kepada strategi melindungi mereka yang dalam lingkungan 0.37% kadar kematian.

“Strategi pembendungan perlu difokuskan untuk melindungi mereka yang berisiko, sementara membenarkan penduduk lebih sihat menjalani kehidupan normal, yang akhirnya dijangkiti dan membentuk imuniti.”

Ferlito memberi amaran kelewatan kembali kepada keadaan normal, termasuk melakukan perjalanan, akan memberi kesan besar, terutama terhadap golongan miskin dan sekatan adalah regresif.

Beliau turut meminta kerajaan mendedahkan data terperinci dari segi umur dan keadaan kesihatan individu yang meninggal dunia akibat Covid-19.

“Data ini akan membantu penduduk menilai risiko sendiri.”

Hari ini, Kementerian Kesihatan melaporkan 2,195 kes baharu Covid-19 berbanding 1,427 kes sembuh dan lapan kematian.

Ini menjadikan 353,822 daripada keseluruhan 375,054 pesakit Covid-19 sudah pulih, dengan 1,378 kematian direkodkan setakat ini. FMT

Najib hairan mengapa Umno, BN masih dalam ‘kerajaan gagal’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker