Servis ‘Resume By Nurul’ serendah RM10

Servis ‘Resume By Nurul’ serendah RM10

Berpijak di bumi nyata hakikat segulung ijazah bukan lagi jaminan mendapat pekerjaan dan kerana tidak mahu membazir masa, Nurul Ain Abdul Wahid, 24, menjadikan bidang penulisan resume sebagai ‘lubuk’ mencari rezeki.

Baru tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Pendidikan dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang, bulan Ogos lepas, anak kelahiran Pasir Mas Kelantan ini pernah menyertai satu program cara penyediaan resume secara dalam talian sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021.



Perkhidmatan menulis resume atau ringkasan (ikhtisar), antaranya maklumat diri, pendidikan dan pengalaman kerja ini bukanlah suatu perkara baharu malah perkhidmatan itu kini banyak ditawarkan secara dalam talian.

Ia semakin mendapat sambutan lebih-lebih lagi dalam kalangan individu yang mahu memohon kerja namun berhadapan kekangan tidak mempunyai komputer, tidak mahir membuat resume dan paling utama tidak tahu cara menghasilkan resume yang menepati kehendak pasaran.

Bagi Nurul Ain yang mesra disapa Nurul, idea menjalankan perkhidmatan resume bertitik tolak juga daripada niat untuk membantu mereka yang berhadapan kesukaran menghasilkan dokumen itu, dengan menawarkan harga serendah RM10.

“Sebelum itu semasa belajar dahulu ada satu subjek tentang kerjaya yang turut menyentuh mengenai cara menghadiri temu duga serta aspek penyediaan resume. Jadi dari situ saya belajar cara membuat resume tetapi bukanlah menggunakan format yang betul.



“Selepas menyertai program itu baharu saya diberi pendedahan bagaimana kaedah membuat resume dan untuk permulaan saya cuba menyediakan resume untuk adik yang ingin memohon kerja sambilan dan syukur dia diterima bekerja,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

LABEL ‘RESUME BY NURUL’

Menggunakan label ‘Resume By Nurul’, di laman sosial Instagram dan TikTok, Nurul memulakan bisnes penulisan resume pada bulan Julai 2023 dan adiknya, Nadiah Shahirah Abdul Wahid, 22, turut membantu.

Menurut Nurul, sewaktu di semester akhir pengajian beliau mengintai beberapa peluang untuk menjalankan kerja sambilan dan hasil pemerhatiannya, ramai yang menawarkan perkhidmatan resume di laman sosial.



Setakat ini, beliau menawarkan sebanyak 46 ‘template’ atau contoh resume kepada pelanggan, merangkumi pelbagai warna dan paten di samping resume boleh ditulis dalam dua bahasa iaitu Melayu dan Inggeris.

“Saya mahu tambah lagi ‘template’ baharu tetapi belum sempat kerana perlu siapkan banyak tempahan. Kesemua ‘template’ yang diguna itu hanya berbeza warna dan paten sahaja tetapi kandungan yang perlu ada dalam resume adalah sama untuk setiap ‘template’,” jelas Nurul.

Setiap kali menerima tempahan, beliau akan memberikan pelanggan satu format resume dalam bentuk ‘PDF’ yang mengandungi 46 pilihan templat berkenaan.

“Dari situ pelanggan boleh pilih mana yang mereka berkenan. Kemudian saya akan sediakan satu ‘link google form’ untuk mereka isi maklumat yang diperlukan dalam resume. Waktu mula-mula saya buat perkhidmatan resume ini, saya guna cara manual iaitu menghantar senarai untuk pelanggan isi secara terus melalui WhatsApp.



“Tetapi sekarang sebab banyak sangat tempahan masuk, jadi saya guna ‘google form’ untuk memudahkan kerja pelanggan dan memastikan tidak ada maklumat mereka yang tercicir. Lepas siap isi semua butiran, pelanggan hanya tunggu resume mereka dan bayaran dibuat selepas kerja selesai,” katanya.

PROMOSI DIRI DALAM RESUME

Berkongsi maklumat ‘wajib’ dalam resume ialah nama, nombor telefon, e-mel, alamat, latar belakang pendidikan, pengalaman kerja, kokurikulum, kemahiran dan lain-lain, dan Nurul berkata, kesemua maklumat itu tidak boleh diabaikan.

“Pengalaman kerja, penglibatan individu dalam bidang kokurikulum atau sebarang program serta projek yang pernah disertai sewaktu sekolah dahulu serta kemahiran adalah kriteria yang boleh disertakan.



“Sudah tentu pengalaman kerja paling utama sebab sekarang kebanyakan sektor pekerjaan mahukan mereka yang berpangalaman. Jadi kalau ada banyak pengalaman kerja masukkan saja dalam resume. Lagi banyak lagi bagus walaupun kita ada buat perniagaan dalam talian. Ada segelintir pelanggan tidak mahu masukkan atas sebab tertentu,” katanya.

Menurut Nurul, bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baharu tamat belajar dan tiada pengalaman kerja, penglibatan mereka di alam persekolahan dapat membantu ‘menguatkan’ resume kerana menerusi aspek berkenaan bahagian sumber manusia (majikan) boleh menilai sama ada individu terbabit aktif atau sebaliknya.

“Terakhir ialah kemahiran komputer, peribadi serta penguasaan bahasa. Ia perlu kerana sudah tentu pihak sumber manusia mahu tengok apa yang kita mahir. Contohnya kita hendak memohon bahagian pentadbiran tetapi tidak beritahu boleh kendalikan kemahiran komputer jadi ia sebenarnya sudah merugikan.

“Jangan sesekali cakap “tidak mengapa yang ini tak masukkan pun tak apa”, malah kalau kita tahu sunting video pakai “capcut” sekali pun kita senaraikan sahaja,” katanya menambah, perkara itu penting ibarat seseorang individu itu mempromosikan diri mereka untuk tujuan mendapat kerja.



Biarpun baharu dua bulan menjalankan perkhidmatan itu, Nurul tidak menyangka sama sekali ia akan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai yang memerlukan bantuan penyediaan resume.

Buktinya, beliau menerima tempahan sekitar 1,000 slot resume dalam masa sehari pada Ogos lepas dan tempahan sudah penuh sehingga bulan September 2023.

Nurul membuka semula tempahan pada Oktober selepas selesai menyiapkan tugasan pelanggan sedia ada.

“Dalam sehari saya akan menyiapkan antara 15 hingga 20 resume. Sekarang ini saya ambil tempahan 400 sahaja untuk tempoh sebulan dan kemudian buka tempahan baharu. Untuk bulan September lepas sebanyak 400 resume disiapkan,” katanya yang mengambil masa kira-kira satu hingga dua jam untuk menghasilkan satu resume dan menghabiskan 15 jam sehari bagi kerja-kerja itu.

Selain graduan, lepasan universiti yang sudah bekerja tetapi mahu mencari pekerjaan lain dan suri rumah, Nurul turut menerima tempahan pelanggan dari Singapura.

“Ramai suri rumah yang mohon servis ini kerana mahu kembali bekerja dan majoriti daripada mereka bukan tidak tahu cara hendak buat resume tetapi sebab tiada kemahiran serta tidak mengetahui perkara penting yang sepatutnya perlu ada dalam resume.

“Ada juga yang tiada komputer di rumah dan kurang mahir dalam penggunaan teknologi maklumat kerana umur sudah mencecah 50-an. Selain itu, terdapat pelanggan yang sudah memiliki resume dan menggunakan perkhidmatan saya untuk mengemaskini semula resume mereka,” katanya yang hanya bermodalkan komputer riba, tablet serta kemudahan Internet untuk mengendalikan perkhidmatan itu.

KEPUASAN DIRI PERKARA UTAMA

Sungguhpun mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan, Nurul tetap berpegang pada niat asalnya untuk terus membantu mereka yang memerlukan perkhidmatan itu dengan mengekalkan harga bayaran RM10.

Beliau berkata, walaupun ada pihak yang mengenakan bayaran sehingga RM200 untuk servis yang sama, namun kepuasan baginya ialah apabila dapat membantu memudahkan urusan mereka yang mahu memohon kerja dan mencari rezeki.

“Cukup sekadar upah bayaran RM10. Namun ada pelanggan yang membayar lebih mencecah RM30 hingga RM50. Ramai tanya berbaloi ke (RM10).
Bagi saya nilai harga itu tidak penting, yang utama saya dapat bantu orang ramai dapatkan kerja, itu sahaja,” katanya yang memperoleh pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan.

Mendapat sokongan penuh daripada ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan, Nurul optimis untuk meneruskan perkhidmatan itu meskipun suatu hari nanti mendapat pekerjaan tetap.

“Saya akan tetap meneruskan perkhidmatan resume ini sebab ramai yang memerlukannya. Insya-Allah saya tidak akan berhenti memberi khidmat dan nanti ia akan diambil alih oleh adik saya. Saya berharap semua pelanggan berpuas hati dengan servis ini dan paling penting semua pelanggan dapat pekerjaan yang diinginkan,” katanya.

Sementara itu berkongsi pengalaman menggunakan perkhidmatan ‘Resume By Nurul’ Noor Haziqah Mohd Riduan, 20, dari Bandar Baru, Kulim, Kedah berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan selain menyifatkan ia mampu membantu mereka yang memerlukan servis berkenaan.

“Saya mengenali perkhidmatan ini melalui Instagram dan melihat maklum balas orang ramai yang berpuas hati, justeru saya meminta Nurul membuatkan resume bagi permohonan untuk menjalani sesi praktikal di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Selangor.

“Alhamdulilah, selepas menghantar resume, permohonan saya diterima untuk menjalankan latihan di YADIM,” kata penuntut tahun akhir jurusan Diploma Kreatif Multimedia Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah itu. Awani

Servis ‘Resume By Nurul’ serendah RM10

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

GV10: Peminat mahu Kak Lina Pom Pom kembali, Elly Mazlein tak gedik

Ira Kazar terima kifarah – Nur Nilam

Jiggy komen pakaian renang Dhabitah

Tuah wajah iras Mira Filzah dapat watak utama

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker