Sokong Anwar, 25 Ahli Parlimen BN ragu ‘ketelusan’ Zahid bertemu Agong – Nazri

Sokong Anwar, 25 Ahli Parlimen BN ragu ‘ketelusan’ Zahid bertemu Agong. Ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamed Nazri Aziz, mendakwa sebanyak 25 Ahli Parlimen BN daripada 41 orang tidak yakin dengan ketelusan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sebagai wakil mereka untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana mereka kecewa dengan tindakan Zahid yang dikatakan mengemukakan surat sokongan Ahli Parlimen Umno kepada Anwar sebagai perdana menteri baharu sewaktu menghadap Agong pada September 2020, katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Nazri, mereka menandatangani surat akuan (SD) yang memberi mandat kepada seorang pemimpin Umno lain untuk menjadi jurucakap mereka sekiranya dipanggil menghadap Agong.

Pemimpin Umno lain itu adalah Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein.

“Saya boleh sahkan perkara itu kerana saya sendiri yang mengusahakannya sejak dua minggu lalu, setelah kita dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong akan memanggil ketua-ketua parti sekali lagi ke Istana Negara bermula 9 Jun lalu,” kata Nazri.

Nazri berkata tindakan Zahid sebelum ini menimbulkan curiga mereka, yang khuatir Zahid akan mengulanginya.

“Berikutan itu, kami bersetuju memberi mandat kepada Hishammuddin untuk menjadi jurucakap Ahli-ahli Parlimen BN bagi memberi penegasan sebenar bahawa kami tidak pernah dan tidak akan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri,” tambahnya.

Nazri menafikan SD itu bertujuan untuk menjatuhkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin atau menukar kerajaan.

Menurutnya, SD itu sudah diserahkan kepada Hishammuddin, namun tidak pasti sama ada Menteri Luar Negeri itu telah menyerahkannya.

Nazri membuat pendedahan ini ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, yang mengakui ada usaha mengumpul SD dalam kalangan Ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan untuk mengambil alih kerajaan.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker