Kluster kilang penyumbang utama kes Covid-19

Kluster kilang penyumbang utama kes Covid-19. Sebanyak 719 kluster kilang dikesan sejak penula­ran pandemik Covid-19 di negara ini yang mengakibatkan 102,269 kes jangkitan positif sehingga se­malam.

Daripada keseluruhan kluster pengilangan yang direkodkan itu, ada di antaranya merekodkan 100 peratus pekerja dijangkiti daripada jumlah disaring.

Lebih membimbangkan kluster pengilangan merupakan ter­tinggi dalam kluster tempat kerja.



Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, kerajaan perlu bertindak tegas memastikan ki­la­ng yang terlibat secara langsung de­ngan keperluan makanan sahaja dibenarkan beroperasi.

Jika tidak, kata beliau, segala usaha kerajaan untuk melandaikan keluk jangkitan wabak melalui PKP penuh tidak akan berjaya dan hanya akan mengambil tempoh yang panjang, sedangkan orang ramai amat patuh dengan duduk di rumah bagi mengurangkan pergerakan dalam komuniti.

“Memang perkara ini akan berterusan berlaku dan segala tindakan PKP tidak akan berkesan apatah lagi pemakaian prosedur operasi standard (SOP) dilihat masih ada kelonggaran, jadi sampai bila kes Covid-19 ini tidak akan selesai.

“Kalau nak bantu kilang beroperasi, kerajaan perlu pastikan betul-betul mengikut SOP dengan meletakkan satu petugas pemantau untuk memastikan mereka mematuhinya secara tegas dan ketat,” katanya di sini semalam.



Beliau berkata, antara kaedah lain yang boleh diambil kerajaan ialah memastikan setiap pekerja mereka divaksinasi sepenuhnya sebelum mereka diberi ‘lesen’ untuk beroperasi.

Katanya, mana-mana kilang yang didapati melanggar arahan, perlu diambil tindakan tegas dengan memberi ‘hukuman’ untuk tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh tertentu.

“Kerajaan tidak boleh hanya mementingkan sektor ekonomi yang menyumbang besar kepada pelaburan negara, tetapi perlu memikirkan soal kesihatan yang turut menjadi ancaman kepada negara. Fikirkan soal ekonomi secara kreatif dan inovatif jika mahu memastikan ekonomi tidak terhenti,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, ujian saringan besar-besaran di sektor perkilangan perlu dilakukan bagi memastikan hanya pekerja yang disahkan negatif sahaja boleh hadir bekerja.



Ini termasuk, katanya, usaha vaksinasi perlu diutamakan kepada sektor perkilangan kerana mereka tidak boleh bekerja dari rumah bagi pengeluaran produk tertentu sekali gus menyumbang situasi buruk kepada ekonomi negara.

“Pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri perlu membuat panduan secara terperinci sektor perkilangan mana yang benar-benar diperlukan untuk bero­perasi dalam tempoh lockdown ini supaya tidak ada mana-mana pihak industri cuba mengambil kesempatan membuka kilang walaupun bukan perlu,” katanya. – UTUSAN

Kluster kilang penyumbang utama kes Covid-19


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




Notis 28 hari boleh diketepikan, kata Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker