FBI temui jawapan dalam tabligh
FBI temui jawapan dalam tabligh
Bekas penyampai radio Hot FM, Faizal Ismail atau FBI mengakui seolah-olah mendapat ‘jawapan daripada Allah’ selepas keluar bersama jemaah tabligh selama tiga hari, baru-baru ini.
Faizal berkata, selama ini kedudukannya sebagai hamba Allah terlalu jauh daripada-Nya.
“Saya terlampau mengejar duniawi. Saya meninggalkan apa yang sepatutnya sebagai hamba Allah. Sekarang, saya tebus masa saya untuk lebih kepada Allah dan akhirat,” kata penyampai radio dan pengacara popular itu.
Faizal membuat perkongsian itu menerusi panggilan video bersama stesen radio Zayan FM, baru-baru ini.
Dalam perkongsian itu, Faizal turut berkongsi mengenai pembabitan awalnya dalam aktiviti dakwah itu.
Faizal berkata, sebelum itu dia sukar untuk tidur dan ia berlaku selama berbulan-bulan.
“Saya jadi resah, gelisah dan kata orang, kemurungan. Takkan saya nak berada dalam keadaan kemurungan. Saya tak percaya sebab saya seorang yang ceria,” katanya.
Sejak itu, Faizal mula mencari jalan penyelesaian untuk permasalahan itu menerusi agama.
“Kemurungan bukanlah satu masalah yang main-main kerana benda itu wujud. Tapi, saya tak nak cari penyelesaian mengikut cara orang putih, sebaliknya rujuk cara agama,” katanya.
Faizal kemudian bertemu dengan mereka yang memiliki pengetahuan dalam ilmu agama untuk mencari jawapan kepada persoalan yang bermain dalam fikirannya.
“Saya rasa teruk sangat seperti saya ada masalah kesihatan dan sebagainya. Bila saya rujuk kepada orang-orang alim, mereka beritahu saya bahawa ini adalah ujian Allah.
“Dia nak bagi sesuatu kepada saya. Dia bacakan ayat-ayat Al-Quran, hadis Nabi, bagaimana Allah melahirkan rahmat kepada kita melalui ujian, musibah dan sebagainya dan dia bekalkan saya dengan amalan-amalan. Akhirnya, saya bertemu dengan jawapannya apabila seorang ustaz mempelawa saya menyertai jemaah tabligh,” katanya.
Faizal berkata, pandangan orang mengenai dia sebagai selebriti yang hidup secara sederhana adalah sangat bahaya.
“Kita rasa kita sudah okay, tapi sebenarnya itu yang bahaya. Kita tak tahu kedudukan kita yang sebenar-benarnya di sisi Allah. Di sisi manusia, mungkin orang nampak kita okay.
“Tapi, bila Allah tunjukkan kedudukan kita, Masya-Allah, kita takut. Saya rasa jauh lagi nak kejar. Berpuluh-puluh tahun hidup di dunia banyak luangkan masa untuk benda dunia semata-mata,” katanya.
Menurutnya, walaupun dia merasakan dirinya sudah dapat seimbangkan antara dunia dan ibadah, itu sebenarnya tidak berlaku.
“Kita cakap, kita seimbangkan ibadah dan kerja. Sebenarnya, kalau nak ikutkan memang tak seimbang langsung.
“Kita kata kita solat dan beramal, tapi berapa minit kita ingat? Dalam masa kita bekerja, kita cari harta, habiskan masa bersama kawan-kawan berjam-jam. Lapan, 10, 12 jam masa bekerja. Dari mana yang seimbangnya? Tanya diri kita sendiri,” katanya.
Dalam segmen Salam Bro yang dikendalikan dua penyampai Mawi dan Anas itu, Faizal juga berkongsi mengenai kemanisan yang dirasakannya selepas menyertai jemaah tabligh.
“Paling utama adalah usaha atas iman. Bila kita lahir di dunia sebagai orang Islam, kita rasa kita sudah selamat. Kita rasa kita sudah ada iman.
“Tapi, bila kita makin lama, membesar, terperangkap dalam dunia yang sementara ini, kita dihidangkan dengan mata kita, kita nampak kemewahan, rumah besar, kereta mewah, itulah yang kita nak kejar.
“Namun, bila Allah sudah beri kefahaman, setiap apa yang dilafazkan, walaupun dalam bentuk lagu yang kita dengar pun mesejnya akan jadi sangat bermakna,” katanya.
Selain Faizal, beberapa selebriti tanah air yang lain juga turut menyertai jemaah tabligh dan berdakwah antaranya pengacara dan pelakon, Nabil Ahmad.
Difahamkan, Faizal sebelum ini melanjutkan pengajian di United Kingdom dan turut membawa isteri dan anak-anaknya ke sana.
Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi Faizal bagi mendapatkan perkembangan terkininya tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggil telefon dan membalas mesej di aplikasi WhatsApp. Hm
FBI temui jawapan dalam tabligh
Baca Artikel Menarik :
- Kemalangan cetus pergaduhan, rider foodpanda ditahan
- Bomba selamatkan wanita dikurung suami alami tekanan
- Agong wajar bertindak atas nasihat PM mengikut Perlembagaan
- Siti Sarah dan Shuib kembali berduet
- Lagu lucah, Uyaina Arshad mohon maaf
- Resepi Kari Kambing special
Layari Laman Facebook MYKMU
You must be logged in to post a comment.