BMX Faizal Hussein kembali bermaharajalela


BMX Faizal Hussein kembali bermaharajalela

Kuala Lumpur: Pelakon Faizal Hussein, 54, gembira apabila basikal BMX model Kuwahara Laserlite 82 yang digunakan dalam filem lakonannya, Bujang Selamat kira-kira 36 tahun lalu sudah boleh digunakan kembali.

Basikal itu melalui proses restorasi oleh Amin dan Firdaus yang juga peminat basikal BMX dari @vintage_malaysian_collector kira-kira dua tahun lalu dan nilainya kini dianggarkan mencecah RM18,000.

Faizal berkata, basikal itu dibeli bapanya yang juga pelakon dan pengarah filem legenda, Allahyarham Hussein Abu Hassan ketika dia berusia 17 tahun dengan harga RM480.



Menurut Faizal, sebelum ini basikal berkenaan hanya disimpan dalam stor di rumahnya.

“Selepas berkahwin, saya buka tayar dan simpan saja di rumah. Sebelum itu hanya letakkan di luar rumah hingga ada beberapa bahagian berkarat,” katanya kepada Harian Metro.

Faizal berkata, selepas itu dia mengenali satu kumpulan peminat dan pengumpul basikal BMX dan mereka tahu mengenai sejarah model Kuwahara Laserlite 82 miliknya itu.

“Kira-kira dua tahun lalu, saya hadir ke program anjuran mereka di Senawang, Negeri Sembilan dan di situ saya minta mereka baiki semula basikal itu.



“Ketika acara berlangsung, basikal saya turut dijadikan bahan pameran. Selepas itu, mereka perlahan-lahan mendapatkan tayar dan rim. Seterusnya mereka serahkan semula basikal itu yang ketika itu sudah 70 peratus disiapkan,” katanya.

Menurut Faizal, basikal itu kini sudah boleh dinaiki dan ramai pengumpul koleksi berminat untuk membelinya.

“Ada pengumpul tegar dari Indonesia dan Filipina yang berminat. Difahamkan, harga basikal ‘vintage’seperti ini di Indonesia lebih mahal. Malah, saya dimaklumkan ada yang mahu membeli basikal saya dengan harga RM15,000 walaupun ia belum melalui proses restorasi,” katanya.

Bercerita mengenai minatnya terhadap basikal BMX, Faizal berkata, ketika berusia 16 tahun, dia adalah pelumba untuk kedai basikal dan jenama Shimano.



“Port’ kami ketika itu di Kompleks Pertama, Kuala Lumpur. Ada banyak kedai basikal di situ dan budak-budak BMX Kuala Lumpur berkumpul di situ setiap hujung minggu,” katanya.

Faizal berkata, dia mahir melakukan pelbagai aksi ekstrim menggunakan basikal BMX termasuk melompat melepasi dua buah kereta.

Menurutnya, ketika itu dia bersama kumpulan peminat BMX seramai 50 hingga 60 orang melakukan aktiviti kayuhan ke Mimaland di Gombak dan Jalan Klang Lama serta terbabit dalam aktiviti perlumbaan.

“Dalam perjalanan ke Mimaland, ada basikal rosak. Jadi, kami kumpul duit seorang 10 sen atau lebih dan kemudian kami tahan teksi untuk hantar dia pulang ke rumah berserta dengan basikal.



“Kami juga suka jelajah ke setiap daerah. Dari Kompleks Pertama kami ke Jalan Klang Lama dan budak-budak di situ yang ada trek litar lumba sendiri menanti ketibaan kami.

“Kami memang sudah rancang dari awal hari itu ada perlumbaan antara kumpulan dari Kuala Lumpur dan Jalan Klang Lama,” katanya.

Mereka memilih 10 pelumba terbaik kumpulan masing-masing untuk berlumba satu lawan satu.

“Siapa yang menang akan dapat markah. Jika kami menang, kumpulan lawan tak boleh bermain lagi di litar itu walaupun asalnya milik mereka dan mereka terpaksa mencari lokasi lain.



“Kami berjaya ‘takluk’ beberapa daerah ketika itu. Syukur tiada pergaduhan sepanjang aktiviti berlumba. Semua pihak faham undang-undang. Kami juga pernah disaman penguat kuasa DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) kerana buat aksi terbang di Taman Tasik Perdana. Kami cuba melarikan diri tapi gagal kerana sudah dikepung,” katanya.

Faizal berkata, dalam usia sekarang dia masih boleh melakukan aktiviti berbasikal BMX. Dia juga aktif dengan aktiviti motosikal lasak (motor cross) bersama anak lelakinya. HM

BMX Faizal Hussein kembali bermaharajalela


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU


Harith Iskandar sedih kematian anjing kudungnya

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker