Potong gaji CEO bank, bukan buang pekerja
Potong gaji CEO bank, bukan buang pekerja. Firma Perunding Roland Berger dalam laporan terkininya menyatakan terdapat anggaran sebanyak 567 cawangan bank di Malaysia telah ditutup sepanjang dekad ini. Salah sebuah bank tempatan terbesar turut mengikut rentak tersebut apabila mengisytiharkan 13 cawangannya bakal menerima nasib yang sama pada hujung 2021.
Sebuah bank tempatan yang lain telah menutup enam cawangannya setakat ini, dengan enam cawangan lagi diaturkan tutup dalam temph dua bulan akan datang. Ketika industri ini mengaut keuntungan berbilion ringgit pada tahun 2020, penutupan cawangan dan pemberhentian kerja masih lagi diteruskan atas dasar mahu mengurangkan kos operasi demi keuntungan.
Ini berlaku di saat krisis tiga serangkai (kesihatan, ekonomi dan politik) sedang galak memamah negara.
Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank Malaysia (Nube) baru sahaja mengeluarkan kenyataan, membantah tindakan pengurangan saiz ini yang berisiko menjejaskan nasib lebih daripada 600 kakitangan melalui Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan Skim Pemisahan Bersama (MSS) yang dikatakan mempunyai “syarat-syarat tidak adil”.
Walaupun pelbagai rayuan telah diajukan ke Bank Negara Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia, sehingga kini ia langsung tidak didengari, apatah lagi dipedulikan. Nampaknya, keselamatan masa depan dan kelangsungan hidup ratusan, mungkin ribuan warga kerja industri perbankan kini meniti hari untuk menjadi korban.
Bagi segelintir, ini mungkin saja sitkom ringkas tutupnya sebuah cawangan bank, namun bagi mereka yang kerja makan gaji di situ, ia adalah lembaran hidup dan masa depannya. Ramai antara mereka adalah B40 dan yang lain pasti ada yang bertatih menuju ke M40. Sekarang, semuanya terpaksa dihumban masuk terus ke B40 secara ekspres.
Ia lebih menyayat hati apabila ada CEO bank masih mengaut berjuta ringgit dalam imbuhan tahunannya, sering kali memecahkan rekod sendiri pada tahun sebelumnya. Ada juga antara mereka yang mendapat insentif kerana penjimatan kos daripada VSS dan MSS.
Dalam erti kata yang lain, CEO-CEO ini dibayar kerana berjaya mencipta pengangguran. Bagaimana ia boleh dibiarkan begini?
Lebih masuk akal saya rasa sekiranya gaji CEO-CEO ini dipotong terutama mereka yang ada gaji luar biasa tinggi, berbanding membuang kakitangan, bukan?
Kita telah saksikan bagaimana lingkupnya kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengemudi negara dalam membendung pandemik ini. Tidak cukup dengan penutupan ekonomi dan polisi fiskal suam-suam kuku yang membiarkan golongan pekerja terkapai-kapai sesak nafas, tindakan PN membiarkan bank-bank menindas rakyat adalah tidak kurang kejamnya, seperti mencampakkan rusa cedera sebagai hadiah kepada singa kelaparan.
Apa jadi dengan komitmen Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang kebajikan pekerja akan terjaga? Apa jadi kononnya tiada pemberhentian kerja setelah memperkenalkan Program Subsidi Gaji? Atau ia cuma satu wayang, kata-kata manis membasahi bibir yang sekadar mahu menutup kegagalan dan kebodohan kerajaan dalam memahami keluh-kesah, rintihan harian rakyat biasa di bawah sini?
Persetanlah hujah kononnya kerajaan ‘has no legal power’ untuk mencampuri urusan bank tatkala mereka mahu laksanakan pengurangan saiz. Semua penutupan cawangan bank perlu dahulu mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia, apa lagi maksudnya yang mereka ‘has no legal power’?
Apa pula tujuannya kerajaan berzikir tiap malam ‘darurat, darurat’ untuk memusatkan kuasa eksekutif kalau tidak digunakan untuk keadaan-keadaan macam ini?
Dengan teknologi e-perbankan yang semakin matang dan perkembangan pengguna ke arah digital, bank-bank sepatutnya menggalakkan lebih banyak latihan dan pembentukan kemahiran kakitangan sedia ada untuk memenuhi kehendak pasaran; bukannya ‘memancung’ kakitangan-kakitangan ini yang saya rasa sangat tidak berperikemanusian dan tidak bertanggungjawab.
Saya sarankan dan saya desak agar kerajaan berusaha lebih sedikit dan lebih serius dalam merangka rancangan yang lebih baik dalam campur tangannya.
Ia cukup menyedihkan untuk sekali lagi menyaksikan kerajaan ini meletakkan keutamaan tidak berbelah bagi kepada perlindungan #BankerJagaBanker yang sungguh dahagakan keuntungan, dan bukannya mengutamakan perlindungan para pekerja dan rakyat biasa di bawah sini.
Potong gaji CEO bank, bukan buang pekerja
Baca Artikel Menarik :
- Notis palsu mesyuarat biro politik UMNO
- Remaja jumpa botol plastik berisi nota merentasi lautan Atlantik
- Abdul Wahid Gabenor Bank Negara yang baru?
- Kenyataan YDP Agong Majlis Raja-Raja kemuncak suara rakyat
- Resepi Udang Masak Merah Madu
- Resepi Bubur Pulut Hitam Campur Durian
Layari Laman Facebook MYKMU
Krisis dan suhu politik meningkat berpunca daripada PN