EU bolot vaksin jejaskan kadar vaksinasi di Malaysia – KJ

Sebaran :

EU bolot vaksin jejaskan kadar vaksinasi di Malaysia. Kerajaan tidak dapat membuka pusat pemberian vaksin (PPV) mega lebih awal bagi mempercepat pemvaksinan penduduk berikutan bekalan vaksin COVID-19 yang diterima ketika itu tidak mencukupi, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Ini kerana katanya pada peringkat awal dahulu, bekalan vaksin dibolot oleh negara di bawah Kesatuan Eropah (EU) termasuk Hungary, sekali gus menjejaskan kadar vaksinasi di Malaysia.

“Pembukaan PPV mega dan banyak (lagi) dibuka apabila bekalan mula sampai bagi meningkatkan kadar vaksinasi,” katanya dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar yang mempersoal proses vaksinasi di Malaysia yang dikatakan lambat berbanding negara lain termasuk Hungary.

Menurut Khairy, negara Asia yang maju termasuk Jepun juga terkebelakang jika dibandingkan dengan EU, Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK).

Khairy berkata proses vaksinasi di Malaysia seharusnya dibandingkan dengan negara jiran seperti Thailand, Vietnam, Indonesia dan Filipina yang memperlihat Malaysia jauh ke hadapan dan menghampiri Jepun.

Beliau berkata isu ketidakadilan bekalan vaksin itu sudah lama dibangkitkan termasuk mengenai UK dan Kanada yang membeli dos vaksin berkali ganda lebih banyak berbanding jumlah rakyat.

Apabila negara-negara itu sudah mencapai imuniti kelompok, barulah negara seperti Amerika Syarikat dan Jepun malah China menawarkan vaksin sedangkan Malaysia sudah lama menunggunya, kata Khairy.

Ditanya bila vaksin Sputnik V dijangka mendapat kelulusan Badan Pengawas Farmaseutikal Negara (NPRA), Khairy berkata berdasarkan perjanjian yang ditandatangani oleh Duopharma (M) Sdn Bhd dan kerajaan Malaysia, syarikat itu mempunyai masa tiga bulan untuk mendaftarkan vaksin berkenaan dengan NPRA.

“Saya difahamkan ada beberapa maklumat stability yang masih diperlukan NPRA sebelum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Mengenai bekalan vaksin dos tunggal CanSino dan Janssen oleh Johnson & Johnson (J&J), Khairy berkata kerajaan bakal menerima penghantaran pertama CanSino bermula bulan depan, sementara tarikh penghantaran Janssen masih belum diperoleh.

NPRA memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan kecemasan bagi dua vaksin itu pada 15 Jun lepas.

– Bernama

EU bolot vaksin jejaskan kadar vaksinasi di Malaysia – KJ


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Krisis dan suhu politik meningkat berpunca daripada PN

 


Sebaran :

Leave a Reply