Kami mahu bantu negara, mudahkan rayu pemilik klinik swasta

JOHOR BAHRU: Syarat yang menyusahkan selain terpaksa mengeluarkan kos tinggi antara sebab ramai pemilik klinik swasta di bandaraya ini “berat hati” untuk turut serta menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut seorang doktor klinik swasta di Taman Nusa Bestari yang mahu dikenali sebagai Dr Daniel, kerajaan sepatutnya mengkaji semula syarat serta keperluan itu bagi mengurangkan kos klinik swasta bagi menyertai PICK.

Antara syarat yang membuatkan banyak klinik swasta tidak bersedia adalah keperluan menyediakan peti sejuk bergred farmaseutikal melibatkan kos lebih RM4,000, sedangkan kebanyakan klinik sudah pun menggunakan sistem peti sejuk memadai bagi penyimpanan vaksin lain.



“Tanpa merisikokan vaksin seperti Sinovac dan Astrazeneca yang boleh disimpan dalam suhu peti sejuk biasa antara 2 hingga 8 darjah Celcius, peti sejuk yang digunakan kebanyakan klinik swasta adalah memadai, berbanding perlu membeli peti sejuk farmaseutikal yang berharga ribuan ringgit,” katanya.

Malah, dakwa beliau, berdasarkan laporan Gang Zeng, penyelidik Sinovac yang terlibat dalam kajian CoronaVac, vaksin ini boleh disimpan dalam peti sejuk biasa.

Daniel berkata, ramai pemilik dan doktor klinik swasta mahu membantu negara untuk mencapai imuniti kelompok dalam tempoh yang singkat dengan memperbanyakkan lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV), namun pada masa sama, syarat yang digariskan perlu seiring dengan kemudahan sedia ada di klinik swasta.

Kata Dr Daniel, kemudahan peti sejuk sedia ada di kliniknya, yang bersuhu 2 darjah Celcius, memadai bagi penyimpanan vaksin Sinovac dan Astrazeneca.

Tambahnya, kebanyakan klinik swasta memiliki pengalaman dalam penyimpanan vaksin termasuk vaksin bernilai tinggi, justeru tidak memerlukan mereka membeli satu lagi peti sejuk farmaseutikal khusus untuk program ini.



Antara vaksin bernilai tinggi yang disimpan klinik swasta termasuk vaksin Gardasil yang digunakan bagi imunisasi Human Papillomavirus (HPV).

“Setiap klinik swasta perlu menyediakan kotak sejuk bagi tujuan pengambilan dan pemindahan vaksin dan ini akan turut menambah kos bagi klinik berkenaan, terutamanya di luar bandar, selain perbelanjaan mengambil vaksin dari lokasi yang ditetapkan ProtectHealth.

“Setiap klinik akan dibayar RM14 bagi setiap suntikan dan ini tidak memadai bagi kos yang ditanggung termasuk perbelanjaan peti sejuk farmaseutikal, kotak sejuk, perbelanjaan perjalanan bagi kakitangan, pengurusan penerima vaksin, penyediaan laporan dan sebagainya,” tambah beliau.

Mengikut rekod, syarikat tidak berasaskan keuntungan yang ditubuhkan bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ProtectHealth Malaysia dilantik sebagai pengendali pendaftaran pusat jagaan ambulatori swasta dan klinik pakar swasta bagi PICK di seluruh negara.



Daniel berkata, klinik swasta bersedia menjalankan program ini secara sukarela dan bukan ingin memikirkan soal keuntungan malah bersedia untuk menanggung sedikit kos, tetapi pada kadar yang lebih berpatutan.

“Saya yakin banyak klinik swasta yang ingin terlibat sama dalam program ini sebagai khidmat negara namun ia perlu bersesuaian dengan kemahiran, pengalaman serta peralatan sedia ada di setiap klinik tanpa mewujudkan risiko kepada vaksin Covid-19,” katanya.

Difahamkan, setiap klinik swasta juga perlu membuat laporan harian dalam sistem dikhususkan KKM, namun ada sistem digunakan memerlukan pengendali klinik berkenaan hanya menggunakan peranti Android.

Letak syarat mudah, kami mahu bantu negara, rayu pemilik klinik swasta


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU


Jual ‘Karipap’ RM6,000 sehari 9 wanita asing ditahan

 



Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker