Raja-Raja Melayu Harapan Rakyat

Sebaran :

PETALING JAYA: Rakyat mengharapkan keputusan proaktif yang drastik dapat dicapai da­lam mesyuarat khas Majlis Ra­ja-Raja Melayu esok bagi menyelesaikan masalah dalam ne­gara.

Pemimpin dan pelbagai lapisan rakyat meletakkan harapan yang tinggi agar raja-raja Melayu pada akhir mesyuarat itu kelak antara lain dapat men­terjemahkan harapan mereka ter­hadap masalah Covid-19, me­ngembalikan fungsi Parlimen ser­ta pemulihan segera ekonomi.

Walaupun tidak timbul isu per­tukaran kerajaan, rakyat sa­ngat memerlukan nasib mereka dibela, malah melihat semak imbang dilaksanakan dalam as­pek sosial dan pentadbiran ke­rajaan.

Bercakap kepada Utusan Ma­laysia, veteran politik yang ju­ga aktivis masyarakat, Tan Sri Mohd. Yusof Latiff berkata, me­­­syuarat berkenaan diharap mem­bangkitkan tentang keper­luan Parlimen kembali bersidang bagi memboleh­kan suara rakyat dibawa dan dibahas di Dewan Rakyat.

Katanya, Majlis Raja-Raja Melayu boleh memainkan pe­ranan penting serta menggunakan kebijaksanaan untuk membincangkan kewajaran sidang Parlimen itu dibuka semula dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Rakyat sedang berharap di atas budi perkenan Duli Raja-Raja Melayu supaya masalah rakyat dapat didengar kembali di Parlimen.

“Parlimen perlu dibuka semula supaya sesi semak dan imbang kerajaan dapat dilaksanakan dan kerajaan kembali ditadbir berpaksikan konsep demokrasi berparlimen,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Majlis Raja-Raja Melayu akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan situasi semasa negara termasuk isu Covid-19.

Malah, Al-Sultan Abdullah sebelum ini turut berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga beberapa pemimpin parti politik secara berperingkat, bagi mendapatkan pandangan mereka tentang isu-isu yang berkaitan dengan situasi negara.

Kok Seong tempelak Dong Zong, dakwaan salah dan tak bertanggungjawab!

Sementara itu, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron menjelaskan, mesyuarat esok tidak akan membincangkan mengenai penukaran Perdana Menteri atau pun pelantikan Perdana Menteri Interim seperti khabar angin yang bertiup kencang sejak akhir-akhir ini.

Katanya, pertemuan Seri Paduka dengan kepemimpinan parti politik sebelum ini lebih kepada mekanisme untuk memperoleh maklumat yang cukup sebelum mempengerusikan mesyuarat tersebut.

Jelasnya, Majlis Raja-Raja Melayu dijangka menyentuh berkenaan krisis pandemik Covid-19 dan status Proklamasi Darurat yang bakal berakhir Ogos ini.

“Saya tidak fikir ada perbincangan berkenaan penggantian Perdana Menteri. Pastinya, masalah krisis Covid-19 akan dibincangkan yang merangkumi pemanjangan tempoh darurat dan hal-hal penting yang lain,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang.

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, mesyuarat itu penting kerana rakyat sudah letih melihat ketidakmampuan kerajaan menyelesaikan isu Covid-19.

“Kerajaan yang ada seperti bersembunyi di sebalik tirai. Usahkan nak buka Parlimen, nak bercakap dengan media pun tidak banyak, sebaliknya pembangkang yang berani,” katanya.

Abdul Aziz yang juga Ke­tua Pembangkang Perak berharap Majlis Raja-Raja boleh mengambil inisiatif supaya Yang di-Pertuan Agong ada kekuatan untuk berbuat sesuatu yang drastik.

“Mungkin ada daripada krisis politik di Perak (tahun 2009) yang boleh dilaksanakan untuk menyelesaikan isu politik negara ini, namun, ia berkait dengan keadaan semasa Covid-19. Ertinya, formula penyelesaian politik yang kita tunggu itu perlu mengambil kira keadaan Covid-19 ini,” katanya.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin pula membe­ritahu, Pas yakin tidak timbul sebarang isu pertukaran kerajaan dalam mesyuarat khas ber­kenaan.

Sebaliknya, kata beliau, perbincangan tersebut dijangka tertumpu kepada isu darurat, Covid-19 serta ekonomi dan Pas akan menyokong keputusan yang dibuat Majlis Raja-Raja Melayu.

Katanya, kepentingan parti-parti politik perlu diketepikan dengan menyokong keputusan Majlis Raja-Raja khususnya berkaitan keutamaan mena­ngani Covid-19 demi kepenti­ngan rakyat dan negara ini.

“Tidak timbul isu tukar kerajaan (dalam Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu) malah pertemuan ketua-ketua parti politik dengan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini juga tidak membincangkan perkara itu.

“Fokus utama adalah menangani isu Covid-19 dan ekonomi dengan para pemimpin perlu bekerjasama dalam soal tersebut dengan mengetepikan fahaman politik,” katanya. – UTUSAN

Rayuan BPR 2021, LHDN Buka Kaunter Bermula Hari Ini

Raja-Raja Melayu Harapan Rakyat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Aliff kena masuk kelas masakan sebelum jual produk makanan – Chef Wan

 


Sebaran :

Leave a Reply