COVID-19: Selamatkah Tempat Kerja Anda Daripada Jangkitan Bawaan Udara? — MYKMU.NET

COVID-19: Selamatkah Tempat Kerja Anda Daripada Jangkitan Bawaan Udara?



Sebaran :

COVID-19: Selamatkah Tempat Kerja Anda Daripada Jangkitan Bawaan Udara?

COVID-19: Selamatkah Tempat Kerja Anda Daripada Jangkitan Bawaan Udara?

KUALA LUMPUR: Bilakah ‘kali terakhir’ sistem pengudaraan dan penghawa dingin di tempat kerja anda diselenggarakan?

Tidak kisahlah, sama ada peralatan berkenaan berada di dalam pejabat, pasar raya, kilang atau di mana-mana sahaja, asalkan berada dalam ‘bangunan’, ia memerlukan penyelenggaraan yang sempurna.



Ada kewajaran mengapa persoalan ini dibangkitkan. Ini kerana, pengabaian aspek tersebut dikenal pasti berisiko sebagai pengantara penyebaran virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan penyakit COVID-19, melalui bawaan udara atau ‘airborne‘.

Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah menyatakan sebelum ini bahawa bangunan tertutup yang mempunyai pengudaraan tidak baik lebih berisiko merebaknya COVID-19 berbanding luar bangunan.

KAJIAN PENYELIDIK TEMPATAN

Ini juga terbukti hasil kajian pakar penyelidik daripada universiti tempatan yang mendapati virus maut itu mampu terampai lama dalam udara dan tersebar sejauh lebih dua meter malah, melangkaui sehingga enam meter dalam ruangan tertutup tanpa pengaliran udara segar.

Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai Pensyarah Kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Prof Madya Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir mendapati ruangan tertutup serta operasi penghawa dingin yang mengitar semula udara akan memudahkan penyebaran virus dalam udara melalui aerosol.



Manakala kajian kedua oleh pakar simulasi udara dalaman, Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR), Prof Madya Dr Bernard Saw Lip Huat bersama pakar toksikologi Universiti Malaya, Prof Madya Dr Leo Bey Fen mendapati virus COVID-19 sukar dikawal penyebarannya kerana zarah virus itu berada dalam udara selama lebih 8 jam.

Kedua-dua kajian ini yang telah diterbitkan dalam jurnal antarabangsa secara tidak langsung menyokong kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Mei lepas bahawa jangkitan virus COVID-19 ketika ini bukan lagi hanya melalui ‘droplets‘ (titisan cecair partikel besar) tetapi juga aerosol iaitu titisan partikel lebih kecil yang dapat bertahan terampai dalam udara lebih lama.

“Kerana itu, sangat penting mempunyai pengudaraan baik dengan membuka tingkap dan pintu di rumah atau pejabat bagi membolehkan udara segar masuk.



“Bagaimanapun, bagi pejabat atau kilang tertutup yang tingkapnya tidak boleh dibuka, penyelenggaraan penghawa dingin dan sistem pengudaraan sangat penting.

“Pengabaian pengudaraan baik serta ketiadaan penyelenggaraan penghawa dingin, ada keberangkalian tinggi mencetuskan ‘kluster tempat kerja’ sekiranya ada pesakit COVID-19 datang ke pejabat.

“Ini kerana, individu itu berisiko tinggi menyebarkan virus kepada rakan sekerja lain melalui bawaan udara,” menurut Mohd Shahrul kepada Bernama.



KLUSTER TEMPAT KERJA

Mohd Shahrul menjelaskan kajian beliau pada April tahun lepas (2020) bersama kumpulan penyelidik virologi, Prof Madya Dr Nazlina Ibrahim, Dr Norefrina Shafinaz Md Nor dan Dr Yip Chee Wai yang juga dari UKM, menemukan virus SARS-CoV-2 terampai bersama habuk halus. Oleh itu, pemakaian pelitup muka sangat penting di dalam bangunan.

Hasil kajian itu diterbitkan dalam jurnal tersohor, Nature Scientific Reports pada Januari lepas (2021).

Dapatan kajian ini tidak boleh dipandang remeh memandangkan sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan telah menyatakan kebimbangan peningkatan kluster tempat kerja.



Sejak bermulanya pandemik COVID-19 pada 25 Jan 2020 sehingga 26 Mei 2021, sebanyak 1,085 kluster tempat kerja telah dilaporkan dengan sejumlah 129,322 kes.

Trend yang membimbangkan itu dapat dilihat apabila dalam tempoh hampir dua bulan bermula 1 April 2021 sehingga 26 Mei 2021, sebanyak 287 kluster tempat kerja telah dilaporkan dengan jumlah 17,087 kes. Daripada jumlah itu, 233 kluster tempat kerja ini masih aktif, melibatkan sejumlah 16,785 kes aktif.

Kegusaran ini ada kewajarannya kerana tidak mustahil akan berlaku lagi peningkatan kluster tempat kerja sekiranya pihak majikan masih lagi mengambil ringan akan beberapa isu pematuhan prosedur operasi standard (SOP).



Ini termasuklah dalam aspek pengudaraan baik di tempat kerja memandangkan masih ada lagi pekerja yang perlu berada di pejabat, kilang, biarpun sebelum ini Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan 80 peratus penjawat awam dan 40 peratus sektor swasta diarahkan bekerja dari rumah mulai 25 Mei dalam usaha melandaikan keluk jangkitan COVID-19.

“SOP sekadar membasuh tangan serta mengamalkan penjarakan fizikal adalah sesuai.

“Tetapi, berdasarkan kajian kami yang mengkaji pergerakan virus berkenaan di dalam bangunan, SOP tersebut tidak cukup memberi perlindungan terhadap titisan zarah mikro pernafasan yang membawa virus yang disebarkan ke udara oleh orang dijangkiti.



“Kerana itu, walaupun ketika ini hanya beberapa peratus sahaja berada di pejabat iaitu 20 peratus penjawat awam manakala 60 peratus swasta dan mereka duduk berjauhan antara satu sama lain, keberangkalian dijangkiti virus itu tetap ada sekiranya pejabat mereka tidak mempunyai pengudaraan baik,” kata Mohd Shahrul.

LEBIH BAHAYA

Mengulas lanjut keberadaan virus ini dalam udara, ia berlaku apabila titisan cairan sama ada melalui bersin, bercakap atau batuk daripada seseorang yang positif COVID-19 melekat pada zarah (habuk) terutama yang bersaiz satu mikrometer.

“Sekiranya tidak ada pengaruhan aliran udara, virus tersebut yang melekat pada zarah akan terampai selama lapan jam, namun bagi zarah virus COVID-19 yang lebih halus, kurang daripada satu mikrometer, ia boleh berada lebih lapan jam di udara, ” katanya.

Sementara itu, Bernard dalam kajiannya selama tiga bulan bermula Ogos sehingga Oktober tahun lepas (2020), mendapati kira-kira 50 peratus virus COVID-19 tersebar dalam lingkungan diameter satu meter manakala sebahagian lagi melangkaui dua hingga enam meter.

Kajian dilakukan ke atas seorang pesakit COVID-19 yang ditempatkan di dalam sebuah wad di hospital .

“Wad sepanjang enam meter ini menggunakan penghawa dingin jenis ‘cassette air conditioners’ yang hanya mengitar semula udara dan tidak ada kemasukan udara luar.

“Berdasarkan kajian yang dilakukan menggunakan pengiraan dinamik bendalir, mendapati virus SARS-CoV-2 tidak keluar daripada wad tersebut.

“Ia berada dalam bilik berkenaan dan boleh terampai di udara di mana-mana sahaja kerana tidak ada pengaliran udara segar untuk membersihkan virus tersebut,” kata Bernard.

SANITASI?

Mengulas lebih lanjut, Bernard berkata sejauh mana risiko seseorang itu boleh dijangkiti melalui bawaan udara adalah bergantung jumlah virus yang tersebar dalam sesebuah bangunan tertutup.

Sekiranya virus yang terhasil daripada mereka yang positif itu tersebar melalui bersin, bercakap dan bernafas adalah banyak, maka ada kemungkinan seseorang itu akan mengalami jangkitan teruk.

Bagaimanapun, apa yang membimbangkan adalah negara ketika ini mencatatkan varian baharu virus SARS-CoV-2 iaitu varian Afrika Selatan, United Kingdom, India dan Nigeria dengan kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi selain peningkatan kes sporadik oleh mereka yang positif COVID-19 tetapi tidak bergejala.

Hasil survelan genomik yang dijalankan secara berterusan sehingga 31 Mei, negara telah mengenal pasti sebanyak 119 kes COVID-19 yang dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai Varian Yang Membimbangkan (VOC) dan Varian Yang Perlu Mendapat Perhatian (VOI).

“Tidak ada cara lain lagi. Kepentingan kualiti udara dalaman wajar diambil perhatian jitu majikan.

“Sebenarnya, pihak majikan yang kebanyakannya menggunakan sistem penghawa dingin berpusat, boleh membenarkan udara segar masuk ke dalam sesebuah bangunan mereka secara berkala.

“Ini dilakukan di China, iaitu tiga kali sehari, lebih kurang 30 minit, mereka melakukannya dengan cara mengawal sistem penghawa dingin untuk membenarkan kemasukan udara segar ke dalam bangunan tertutup bagi proses ‘flushing‘ udara.

“Tetapi, tidak ramai majikan yang mahu membuatnya kerana ia melibatkan kos.

“Bil elektrik akan tinggi apabila mereka melakukan fungsi ini kerana kompresor penghawa dingin akan bekerja lebih banyak,” katanya.

Selain itu, beliau berkata amalan sanitasi pejabat tanpa adanya penyelenggaraan penghawa dingin tidak ada manfaatnya kerana risiko penyebaran akan tetap berlaku sekiranya individu COVID-19 datang ke pejabat selepas dua hari tempat kerja itu disanitasi.

Ini kerana, sanitasi hanya membersihkan virus tersebut pada hari tersebut sahaja dan ia bukannya berkekalan pada hari seterusnya.

Justeru, beliau berpandangan penggunaan pembersih udara (air purifier) yang mempunyai penapis udara HEPA (sejenis penapis udara mekanikal yang berfungsi dengan memaksa udara melalui jaringan halus yang memerangkap zarah berbahaya seperti kuman dan sebagainya) antara alternatif yang boleh dilakukan majikan bagi meningkatkan kualiti pengudaraan dalaman.

PELITUP MUKA PENTING

Bagaimanapun, keberkesanan pembersih udara ini untuk memerangkap zarah berbahaya juga tertumpu kepada jenis dan cara perletakannya.

“Ia tidaklah melindungi kita 100 peratus. Cuma, sedikit sebanyak dapat membantu mengurangkan penyebaran virus melalui udara.

“Namun, keberkesanannya bergantung pada ukuran pembersih udara, jenis penapis, kelajuan penghantaran udara bersih dan lokasi ia diletakkan.

“Berdasarkan kajian, kami mendapati keberkesanannya kurang jika diletakkan di bawah penghawa dingin serta di lantai. Ia perlu diletakkan tinggi sedikit dan bukannya di lantai.

“Sekiranya diletakkan di lantai, seseorang individu itu masih lagi berisiko menyedut udara mengandungi virus kerana fungsi pembersih udara yang menyedut udara tercemar di bahagian bawah dan mengeluarkannya di bahagian atas,” katanya.

Namun begitu, tidak semua syarikat mampu atau mahu menyediakan pembersih udara bagi menyediakan persekitaran tempat kerja yang terjamin daripada sudut kesihatan dan selesa untuk pekerja mereka.

Justeru, mahu atau tidak, pemakaian pelitup muka sepanjang masa dalam bangunan amat penting bagi setiap pekerja, kata Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh.

Bagaimanapun, pemilihan pelitup muka dalam bangunan juga perlu dititik beratkan kerana pelitup muka biasa seperti kain hanya berkesan mencegah titisan besar walhal zarah udara kecil boleh menembusi melalui jurang kecil yang hadir.

“Pelitup muka jenis N95 ataupun menggunakan pelitup muka berganda seperti disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digalakkan diamalkan pekerja dalam bangunan.

“Tidak ada pengecualian kerana pengabaiannya berisiko mendedahkan diri kepada COVID-19.

“Setiap pekerja bertanggungjawab menjaga SOP dengan baik kerana risiko dijangkiti dalam bangunan tetap ada dan ia termasuk pelbagai faktor sama ada diri sendiri mahupun pengabaian majikan menyediakan tempat kerja yang selamat.

“Diharap isu ini dapat membuka mata majikan untuk menyediakan tempat kerja lebih baik buat pekerjanya kerana ia bukan sahaja permasalahan disebabkan COVID-19 tetapi juga pelbagai isu kesihatan lain termasuk Sindrom Bangunan Sakit (Sick Building Syndrome) yang sudah lama diperkatakan,” katanya.

— BERNAMA

COVID-19: Selamatkah Tempat Kerja Anda Daripada Jangkitan Bawaan Udara?


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Lelaki putus cinta ‘naik pelamin’, berzikir di pejabat JAWI


Sebaran :


Leave a Reply