[VIDEO] Covid-19: Azab ‘Makan’ Dalam

Covid-19: Azab 'Makan' Dalam [VIDEO]

Covid-19: Azab ‘Makan’ Dalam [VIDEO]

Kesan teruk serangan virus Covid-19 terhadap seseorang sehingga membawa kepada kematian tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Sebaliknya, Pakar Perubatan Forensik Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi menjelaskan Covid-19 adalah sejenis penyakit yang menyerang organ dalaman.



Beliau berkata, kebiasaannya apabila dijalankan bedah siasat untuk kes Covid-19, pihaknya akan menemui tanda-tanda keradangan paru-paru yang sangat teruk.

“Ini menunjukkan paru-paru tidak dapat berfungsi dan mangsa mati akibat daripada kegagalan fungsi paru-paru itu.

“Jika dilihat daripada luaran, memang tiada apa-apa tanda menunjukkan seseorang itu menghidap Covid-19,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Harian Metro.

Menyerang sistem saraf.

Beliau berkata, ada juga kes Covid-19 di mana virus koronavirus 2 (SARS-CoV-2) itu menyerang sistem saraf.



Mengulas lanjut, katanya, ia menyebabkan keadaan dipanggil keradangan kepada selaput otak dan juga otak.

“Kes-kes bedah siasat terhadap mayat Covid-19 yang dijalankan di IPFN HKL kebiasaannya menunjukkan radang paru-paru teruk dan tanda kegagalan organ utama seperti jantung dan buah pinggang,” katanya.

Mengimbas peranan IPFN HKL dalam uruskan mayat Covid-19, katanya, kes kematian pertama Covid-19 dari wad HKL yang diterima membabitkan mayat lelaki pada 21 Mac 2020.

Katanya, bagi gelombang ketiga Covid-19 sahaja, untuk tempoh 1 Januari lalu hingga 31 Mei lalu, pihaknya menguruskan 180 kes kematian pesakit Covid-19 yang mati dalam hospital dan 87 mayat Covid-19 mati di luar hospital (kes dibawa mati) dengan usia mangsa paling muda diurus berusia 18 tahun.



“Pengurusan mayat Covid-19 di Malaysia secara amnya berdasarkan garis panduan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ia berpandukan arahan kesihatan awam berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Pengurusan mayat Covid-19 boleh dibahagikan kepada dua iaitu mayat Islam dan mayat bukan Islam,” katanya.

Mengurus mayat.

Paling utama, dalam pengurusan mayat Covid-19, tegasnya, adalah untuk mengelak penularan kepada individu yang mengurus mayat.



Covid-19: Azab 'Makan' Dalam [VIDEO]

Menurutnya, mayat dibungkus menggunakan dua lapisan beg mayat dan lapisan beg mayat itu juga dilakukan disinfeksi untuk memastikan tiada penularan Covid-19 terhadap petugas yang menguruskan mayat.

“Untuk jenazah orang Islam, mayat akan ditayamum pada permukaan luar beg mayat.

“Pengurusan ini dilakukan pengurus jenazah terlatih.



“Di HKL, mayat Covid-19 untuk jenazah orang Islam diurus Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi),” katanya.

Dr Hafizam berkata, di peringkat HKL, mayat Covid-19 diserah kepada waris dan ditayamumkan di IPFN HKL seterusnya dibawa dengan kenderaan jenazah ke perkuburan diuruskan Jawi.

Bagi mayat bukan Islam, katanya, sama ada dihantar ke krematorium atau dikebumikan mengikut agama masing-masing.

“Mayat bukan Islam dibawa ke krematorium untuk tujuan pembakaran. Garis panduan memang menetapkan apa-apa urusan keagamaan terhadap mayat Covid-19 dibenarkan, tetapi secara sangat minimum dan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.



Perkhidmatan Perubatan Forensik.

Ketika hampir semua pekerjaan sewaktu pandemik perlu mengikuti norma baharu, tidak terkecuali juga dalam perkhidmatan perubatan forensik.

Covid-19: Azab 'Makan' Dalam [VIDEO]

Dr Hafizam berkata, sejak pandemik Covid-19, memang ditetapkan norma baharu perlu dipatuhi sewaktu pekerjaan dilakukan.

“Bagi setiap kes kematian dibawa mati (istilah untuk mati di luar hospital) atau kematian perlu dilakukan bedah siasat perundangan, saringan Covid-19 perlu dijalankan. Ini bagi memastikan keselamatan petugas bedah siasat.

“Jika mayat tidak menghidap Covid-19, proses bedah siasat boleh dilakukan seperti biasa. Tetapi jika disahkan Covid-19 dan jika bedah siasat diperlukan, ia perlu dijalankan dalam bilik bedah siasat khas.

“Aspek keselamatan untuk bedah siasat berisiko tinggi diguna pakai untuk kes sedemikian. Disebabkan mayat perlu disaring, jadi masa menunggu keputusan Covid-19 menyebabkan kelewatan untuk menjalankan bedah siasat,” katanya.

IPFN HKL

Beliau berkata, semua kematian dari luar hospital dibawa ke IPFN HKL pada waktu ini perlu melalui saringan Covid-19 memandangkan lokasi di Kuala Lumpur dan Selangor adalah zon merah.

Jadi, katanya, aspek keselamatan terhadap petugas mengendalikan jenazah dan yang mengendalikan bedah siasat perlu dititikberatkan untuk memastikan keselamatan semua pihak terjamin.

Berkenaan kapasiti penyimpanan mayat sementara diuruskan untuk disemadikan, katanya, buat masa ini, peti mayat dan kontena mayat di IPFN HKL mempunyai kapasiti untuk menyimpan 52 mayat pada satu-satu masa.

“Kita tidak mengkhususkan peti mayat sama ada untuk Covid-19 atau sebaliknya. Ini kerana, proses penyimpanan mayat dan mayat itu diserahkan kepada waris sentiasa berlaku sebilang masa.

“Bagi peti digunakan dan menempatkan mayat Covid-19, kita lakukan kerja pembersihan dan disinfeksi terhadap peti mayat setiap kali digunakan,” katanya.

Ditanya adakah forensik berperanan dalam mengenal pasti varian Covid-19 dijangkiti virus SARS-CoV-2, katanya, peranan pihaknya daripada segi pengambilan spesimen untuk disaring.

Institut Penyelidikan Perubatan

Spesimen itu kemudian dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk dilakukan kajian terperinci bagi penentuan varian.

“Apapun, di Jabatan Perubatan Forensik, kami bukan saja mengurus mayat berkaitan dengan Covid-19.

“Kami juga urus kematian biasa atau pun penyakit lain dan kematian diakibatkan kecederaan atau pun bukan disebabkan penyakit.

“Oleh kerana kadar kematian Covid-19 sekarang makin meningkat, berlaku peningkatan daripada segi pengurusan mayat dan ini membebankan daripada segi fasiliti penyimpanan mayat,” katanya.

Jadi, katanya, setiap mayat perlu diuruskan atau dituntut segera oleh waris.

Ia bagi memastikan tempat simpanan mayat tersedia untuk penyimpanan mayat lain, jika mayat dibawa ke fasiliti IPFN HKL.

“Ada mayat Covid-19 tidak dituntut, ia mayat yang tidak dikenal pasti identitinya. Mayat ini diurus pihak hospital. Bagi mayat yang ada identiti, jika Muslim akan diuruskan oleh Jawi,” katanya.

VIDEO DIBAWAH:-

[videopress gSHL87Co]

 

Beliau diminta memberi pandangan berkenaan masih ada segelintir mendakwa Covid-19 sebagai plandemik atau sesuatu yang dirancang berbanding pandemik.

“Covid-19 adalah sesuatu yang benar dan ia penyakit yang boleh membunuh.

“Kami di Jabatan Perubatan Forensik mengurus banyak mayat akibat Covid-19 daripada pelbagai usia, kaum dan anutan.

“Covid-19 yang melanda bukan perkara yang boleh diambil mudah,” katanya.

Dr Hafizam berkata, bilangan pesakit Covid-19 yang mati di luar hospital tanpa sempat dibawa untuk rawatan juga meningkat.

Oleh itu, beliau menyeru semua pihak untuk menyayangi diri, keluarga, sahabat dan masyarakat dengan mematuhi SOP.

“Situasi kita alami sekarang ini amat getir. Bilangan kes positif Covid-19 setiap hari meningkat. Bilangan pesakit masuk hospital juga meningkat berkali ganda.

“Pesakit yang datang ke hospital pada gelombang ketiga ini kebanyakannya dalam kategori yang teruk iaitu dalam kategori ketiga, keempat dan kelima,” katanya.

Disebabkan itulah, katanya, masyarakat perlu bekerjasama untuk memutuskan rantaian Covid-19.

Katanya, sistem kesihatan boleh lumpuh jika bilangan pesakit perlu dirawat terlalu ramai dan melebihi kapasiti.

“Ia seperti kapasiti sumber manusia, ruang, peralatan, Unit Rawatan Rapi (ICU) serta kapasiti di bilik mayat.

“Berkaitan kekuatan di IPFN HKL, kita dianggotai 63 kakitangan daripada pelbagai kategori. Kita ada enam pakar forensik dan mempunyai pegawai perubatan kumpulan pelaksana,” katanya.

Pengalaman paling terkesan sepanjang mengendalikan Covid-19 selama setahun katanya adalah hakikat kematian akibat Covid-19 sangat menyedihkan.

“Kematian Covid-19 adalah kematian sendirian. Sebelum seorang pesakit Covid-19 mati iaitu ketika dirawat di hospital, tidak ada sesiapa yang boleh menziarahnya.

“Apabila berlaku kematian dan dihantar di Jabatan Forensik, hanya seorang saja boleh mengecam mayat.

“Pihak keluarga tidak dapat melaksanakan tanggungjawab terakhir terhadap orang yang tersayang jika mati disebabkan oleh Covid-19. Itu pengalaman yang pada saya memberi kesan mendalam,” katanya.-HM

Covid-19: Azab ‘Makan’ Dalam [VIDEO]


Baca Artikel Menarik

Layari Laman Facebook MYKMU NET


561 kematian dalam seminggu, tak sedar lagi ke – Najib

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker