Individu degil timbus semula lorong tikus digali polis untuk rentas daerah


Sik Choon Foo (kiri) bersama anggotanya meninjau lorong tikus yang ditimbus semula individu degil yang mahu merentas daerah di Kampung Tanah Puteh, Gua Musang hari ini. (Gambar Bernama)

Polis mengesan satu daripada enam lorong tikus di Kampung Tanah Puteh, Gua Musang, yang digali sebelum ini, ditimbus semula individu degil yang mahu menggunakannya untuk merentas daerah.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Sik Choon Foo berkata, tindakan itu dipercayai dilakukan pemandu bagi mengelakkan melalui sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Gua Musang-Jalan Kuala Lipis.

“Kita menggali lubang dan menutup lorong tikus tersebut sebelum sambutan Aidilfitri lalu supaya semua pengguna perlu melalui pemeriksaan SJR sebagaimana ditetapkan kerajaan.

“Namun, polis mengesan laluan tersebut ditimbus semula mereka tidak bertanggungjawab. Saya beri amaran tindakan tegas akan diambil terhadap individu terlibat,” katanya dipetik Bernama ketika melakukan tinjauan di Kampung Tanah Puteh hari ini.

Sik berkata, anggotanya akan diarah melakukan pemantauan lebih kerap di semua lorong tikus untuk mengesan samseng jalanan yang bertindak memusnahkan sekatan atau menimbus semula laluan itu.

Dalam pada itu, katanya, jumlah kenderaan yang memasuki Kelantan menerusi Jalan Gua Musang-Kuala Lipis berkurangan sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan penuh mulai semalam. Bernama

[VIDEO] Nasi di Kedah sedap, antara alasan rentas negeri guna lorong tikus

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker