Masih ada dana, program bernilai RM305 bilion bagi 2021 – Zafrul

Sebaran :

Masih ada dana, program bernilai RM305 bilion bagi 2021 - Zafrul

Masih ada dana, program bernilai RM305 bilion bagi 2021 – Zafrul

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata masih terdapat peruntukan dan program bernilai RM305 bilion selain PEMERKASA Tambahan untuk pemulihan ekonomi negara dan membantu rakyat Malaysia mengharungi impak pandemik Covid-19 bagi tahun 2021.

Beliau berkata, daripada jumlah RM305 bilion itu sebanyak RM205 bilion adalah peruntukan di bawah Belanjawan 2021.



Menurut Tengku Zafrul, antara langkah Belanjawan 2021 yang masih sedang dilaksanakan untuk manfaat rakyat adalah bantuan kebajikan yang peruntukannya dinaikkan daripada RM1.5 billion pada 2020 kepada RM2.2 billion pada 2021.

“Ia melibatkan kenaikan kadar bantuan kebajikan kepada golongan rentan seperti warga emas terlantar, keluarga miskin dan orang kurang upaya (OKU),” katanya pada satu sidang media hari ini.

Beliau berkata, Jalinan Digital Negara (JENDELA) juga sedang dilaksanakan dengan peruntukan RM500 juta yang antara lainnya melibatkan sambungan fiber untuk sekolah.


“Program lain yang dibiayai perbelanjaan pembangunan (DE) Belanjawan 2021 termasuklah Dana Kredit Mikro sebanyak hampir RM1 billion dan penyelenggaraan sekolah,” katanya.

Selain itu, katanya, tanpa mengira PEMERKASA Tambahan masih banyak program yang sedang dan akan berjalan mengikut perancangan melibatkan peruntukan lebih RM100 bilion untuk dibelanjakan sehingga akhir tahun ini.

Antaranya termasuklah program eBelia yang dilancarkan hari ini yang dijangka memanfaatkan 2 juta belia dan pelajar institut pengajian tinggi; Program Jaringan Prihatin yang dijangka memanfaatkan 8.4 juta penerima; dan subsidi upah dan insentif pengambilan pekerja yang bakal memanfaatkan 2.7 juta pekerja.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan PEMERKASA Tambahan bernilai RM40 bilion dengan sejumlah 12 inisiatif untuk membantu meredakan cabaran yang dihadapi rakyat.

Keluaran Dalam Negara Kasar

Tengku Zafrul berkata sejak Mac 2020 hingga Mac 2021, kerajaan telah mengumumkan enam pakej rangsangan ekonomi bernilai RM340 bilion, dengan suntikan fiskal sebanyak RM65 bilion atau hampir 4.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam menangani cabaran kesihatan dan ekonomi yang dihadapi ketika ini.

Menurutnya, keberkesanan dasar yang proaktif ini sudah mula menunjukkan hasil dengan pemulihan ekonomi yang positif apabila negara mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak enam peratus pada bulan Mac tahun ini.

Melalui pemantauan LAKSANA, pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sepanjang 2020 telah memanfaatkan lebih daripada 20 juta rakyat dan 2.4 juta perniagaan.

“Setakat ini, hampir 60 peratus daripada inisiatif telah pun disalurkan. Daripada jumlah ini, sebahagian besar inisiatif ini termasuklah bantuan segera dan tunai seperti seperti Bantuan Prihatin Nasional, Geran Khas Prihatin, Subsidi Upah dan pelbagai langkah yang lain untuk melindungi rakyat dan memastikan kelangsungan perniagaan,” katanya.

Dari segi nilai, setakat 21 Mei, 2021, hampir RM200 bilion telah disalurkan sepanjang pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi. Bernama

Masih ada dana, program bernilai RM305 bilion bagi 2021 – Zafrul


   Baca Artikel Menari

Layari Laman Facebook MYKMU NET


Kerajaan dah tak ada banyak wang, kata Muhyiddin


Sebaran :

Leave a Reply