Terpedaya ‘cinta’ Instagram, pesara swasta patah hati, rugi RM57,300


Seorang pesara swasta wanita kerugian RM57,300 selepas terpedaya dengan sindiket Love Scam, menerusi media sosial dalam kejadian di Kepala Batas, baru-baru ini.

Terpedaya dengan “cinta” di Instagram, seorang pesara swasta wanita kerugian RM57,300 akibat sindiket “love scam” baru-baru ini.

Mangsa berusia 55 tahun itu, yang sebelum ini bekerja kilang, mendakwa berkenalan di laman media sosial berkenaan dengan seorang lelaki yang mengaku tinggal di luar negara, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Noorzainy Mohd Noor.

“Selepas beberapa bulan, mereka mula menjalin hubungan cinta dan lelaki itu berjanji akan datang untuk bertemu dengan mangsa di Malaysia serta berkahwin dengan wanita tersebut.

“Mangsa juga percaya dengan janji manis lelaki berkenaan yang kemudian memaklumkan mahu menghantar hadiah sebagai tanda cintanya, sebelum dia dihubungi seorang individu lain yang mengaku dari syarikat kurier,” katanya menurut laporan Bernama.

Bagaimanapun, hadiah tersebut kononnya terpaksa ditahan di lapangan terbang oleh pihak kastam, kata Noorzainy.

Tambahnya, wanita itu yang teruja untuk menerima hadiah tersebut telah membuat hampir 10 transaksi ke dua akaun bank yang diberikan secara berperingkat membabitkan jumlah RM57,300.

Wanita berkenaan akhirnya menyedari ditipu selepas suspek terus-menerus meminta bayaran malah mangsa turut diugut akan ditangkap oleh pihak kastam jika gagal berbuat demikian.

Mangsa kemudiannya menceritakan kepada rakannya tentang kejadian tersebut dan membuat laporan polis di Daerah SPU semalam, kata Noorzainy. FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker