Pekerja kedai herba perubatan mati dipukul


Seorang pekerja kedai menjual herba perubatan maut dipercayai dibunuh di dalam premis berkenaan di Jalan Guntong berhampiran Pasar Buntong di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya dimaklumkan oleh orang awam mengenai kejadian yang menimpa lelaki tempatan berumur 31 tahun yang dikenali sebagai Boy itu pada kira-kira 1.15 tengah hari.

“Semasa kejadian, Boy sedang berada di sebuah bilik di kedai berkenaan sebelum didatangi empat lelaki yang mencarinya.

“Menurut rakan sekerja Boy yang berada di kaunter kedai, dia terdengar bunyi bising kira-kira lima minit di dalam bilik itu dan kemudian melihat Boy seolah-olah telah dipukul lalu rakannya itu memanggil ambulans,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Asmadi berkata Boy, yang bekerja di kedai itu sejak sebulan lalu, disahkan meninggal dunia oleh petugas paramedik yang hadir ke lokasi kejadian.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, pihaknya tidak menemui telefon bimbit milik Boy dan sedang meneliti jika terdapat sebarang senjata digunakan dalam kejadian.

“Mangsa mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan pecah amanah dan dadah. Jadi, kita melihat dari semua sudut dan latar belakang mangsa dan apa ugutan dia terima daripada mana-mana pihak, sama ada kes ini berkaitan dengan dadah atau sebagainya,” katanya.

Asmadi berkata, pihaknya kini mengesan keempat-empat suspek dan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. FMT

Polis nafi video tular lelaki dipukul ada kaitan kes Ganapathy

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker