Komuniti Dayak rindukan tradisi ‘ngabang’


Sambutan Gawai Dayak yang disambut hari ini, sering dikaitkan dengan pelbagai aktiviti seperti pertandingan ratu cantik dan amalan ‘ngabang’ (ziarah rumah terbuka Gawai), namun untuk dua tahun berturut-turutnya komuniti Dayak di Sarawak terpaksa melupakannya, dalam usaha memerangi pandemik COVID-19.

“Salah satu aktiviti yang akan paling saya rindukan tentunya berkumpul bersama-sama dengan sanak saudara di rumah atuk dan nenek, di Kampung Stass di Bau.

“Saya juga akan rindukan ngabang, kerana inilah satu-satu masa yang kami boleh berziarah dan berjumpa, bukan sahaja dengan saudara mara, tetapi juga rakan-rakan,” kata pelatih perubatan Grandy Mina Mihim.

Grandy, 26, berkata, beliau juga rindukan ‘Kumang Gawai’ atau pertandingan ratu cantik, bagi memilih ratu cantik festival.

“Ini satu masanya yang kita dapat melihat ratu-ratu cantik Bidayuh, memperagakan pakaian tradisi dari suku kaum masing-masing,” kata Grandy yang suatu ketika dahulu turut menyertai pertandingan ratu cantik seperti itu.

Selain itu Grady berkata, beliau juga merindui makanan tempatan seperti masakan Bidayuh, “Saya boleh bayangkan nikmatnya ‘pogang’ (lemang) dan dimakan bersama ‘tikasuom’ (ikan pekasam), yang ditaburkan dengan cili dan kapur,” katanya.

Namun demikian, beliau akur dengan keputusan kerajaan negeri untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Sarawak dari 29 Mei sehingga 11 Jun.

“Ini satu pandemik global dan kesnya dari hari ke hari semakin meningkat, oleh sebab itu lebih baik untuk menjaga diri kita dan keluarga, daripada kita keluar dan dijangkiti dengan virus itu,” katanya.

Sementara itu seorang guru Angela Ritikos, 57, berkata, beliau tentunya rindukan ahli-ahli keluarga berkumpul bersama, kerana selalunya inilah masanya ke semua ahli keluarganya bersama-sama pulang ke Kuching.

“Walaupun saya tidak berapa setuju dengan ‘lockdown’, namun sejujurnya saya rasakan ia perlu dilakukan. Kita perlu lindungi diri dan yang tersayang dan selamatkan komuniti kita,” kata Angela yang rindukan dua anak perempuannya yang bekerja di Semenanjung Malaysia.

Bekas ratu cantik Angela Martin, 43, pula berkata, ini tahun kedua beliau rindukan kemeriahan Gawai yang biasanya disambut bersama ibu bapanya di Kampung Sungai Pinang Baru, Simunjan.

“Apa yang pastinya, Gawai akan masih disambut pada tahun-tahun yang akan datang, jadi adalah satu tindakan bijak jika kita semua boleh menjaga keselamatan dan duduk di rumah, ketika sambutan Gawai kali ini,” katanya.
BERNAMA

Hari Gawai dibenarkan sehari sahaja, tanpa ‘ngabang’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker