[VIDEO] “Jay Electronica Orang Islam, Janganlah Buat Fitnah” Joe Flizzow Tampil Perjelas Isu Lirik Lagu Sebut Kalimah Allah
Tiba-tiba saja nama penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow menjadi tular di media sosial gara-gara penggunaan kalimah Allah dalam lagu terbarunya, Twisted Dreams.
Tampil menjelaskan perkara sebenar, Joe memaklumkan karya lagu yang turut menampilkan penyanyi terkenal Jay Park, Jay Electronica dan DJ Begun itu tidak sepatutnya menjadi isu kerana bahagian lirik yang dikritik itu dinyanyikan Jay Electronica yang beragama Islam.
Ujar anggota kumpulan Too Phat ini lagi, lirik tersebut juga tidak membawa apa-apa makna yang boleh menghina agama Islam.
“Saya terbaca beberapa komen tentang lagu saya, mereka mempersoalkan kenapa pakai nama Allah. Jawapannya, J Electronica itu orang Islam, hak dia nak sebut nama Allah, janganlah buat fitnah..”
Lirik lagu yang berbunyi “All we want is salam salam, but others giving out is haram haram..” itu difahamkan tidak seperti yang disangkakan oleh sesetengah netizen.
“Kalau kita dengar lagu rap, baca isi kandungan sepenuhnya sebelum buat andaian. Lirik dia ada cakap Astagfirullah, apa yang kita nak cuma bersalaman dengan ramai orang, tapi ada sesetengah orang yang beri benda haram..itu saja..” jelasnya lagi.
Tambah Joe, rakan artisnya itu merupakan seorang penyanyi antarabangsa yang bangga melaungkan tentang agama Islam dalam lagu-lagunya meskipun tinggal di negara yang sering berhadapan dengan diskriminasi agama.
Terdahulu, isu berkaitan nama Allah ini mula tercetus apabila netizen telah membongkar lirik lagu Mukkbang (Remix) nyanyian Jay Park yang menyebut ‘worship me like Allah’ (sembah aku seperti Allah) dalam lagu tersebut.
Rata-rata peminat meluahkan rasa kecewa dan merasakan Jay Park sebagai seorang yang tidak sensitif dan tidak menghormati agama Islam.
Jay Park kemudiannya tampil membuat permohonan maaf menerusi akaun Twitternya, semalam.
Sumber: mSTAR
You must be logged in to post a comment.