Guru sains tipu pelaburan emas RM284,200 didakwa


JOHOR BAHRU – Seorang guru sains di sebuah sekolah menengah di Pasir Gudang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 12 pertuduhan menipu pelaburan emas melibatkan kerugian kira-kira RM284,200, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Hairulnizam Wahab, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut kesemua kertas pertuduhan, Mohd. Hairulnizam didakwa menerima wang deposit berjumlah RM284,200 daripada 12 individu yang juga rakan sekerja tanpa lesen yang sah yang diberikan dibawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah sekolah di Pasir Gudang dan sebuah kedai di Bukit Dahlia di sini antara Mei hingga November 2014.



Kertas pertuduhan dikemukan mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) dan boleh dihukum dibawah Seksyen 137(2) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda tidak melebihi RM5 juta atau kedua-duanya.

Hakim Ahmad Fuad memerintahkan tertuduh dibenarkan ikat jamin RM48,000 dengan seorang penjamin selain 20 Jun ini sebagai sebutan semula kes. K Online

Warga emas ‘melabur’ 7 tahun, baru sedar ditipu



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker