Solat Sunat Gerhana: Fenomena ‘bulan berdarah’ bermula petang ini


Fenomena gerhana bulan penuh atau ‘bulan berdarah’ dijangka dapat disaksikan bermula sekitar jam 4.47 petang ini dan berakhir kira-kira jam 9.50 malam.

Rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak berpeluang menyaksikan fenomena tersebut ketika ia mencapai fasa gerhana separa manakala bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung, fenomena tersebut hanya kelihatan ketika fasa gerhana telah maksimum.

Menerusi laman webnya, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) berkata, fenomena gerhana bulan penuh atau dipanggil Super Flower Blood Moon akan menyebabkan Bulan kelihatan berwarna kemerahan selama kira-kira 14 minit pada fasa gerhana penuh.

Fenomena gerhana ini akan berlaku selepas beberapa jam Bulan berada pada kedudukan yang paling hampir dengan Bumi (perigee).



Ia berlaku apabila matahari, bumi dan bulan berada pada kedudukan sebaris serta keseluruhan bulan merentasi bayangan umbra.

Umbra adalah bahagian bayang yang sangat gelap manakala penumbra, bahagian luar bayang yang relatifnya lebih cerah.

Bulan dengan perlahan-lahan bertukar daripada warna putih bersinar kepada kemerahan. Kesan umbra ini boleh dilihat dengan mata kasar.

Kemudahan teleskop di Planetarium Negara tidak dibuka susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun orang ramai boleh menyaksikan penstriman langsung di akaun media sosial Facebook dan YouTube Planetarium Negara.



Panduan Ringkas Solat Sunat Khusuf (Gerhana Bulan)
Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami’ah! ( Solat berjemaah ).
Juga disaran dilaksanakan secara sendirian.

Niatnya :

Usolli sunnatal khusufi rak’ataini (ada’an / imaman) lillahi taala



“Sahaja aku solat sunat khusuf dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta’ala” – (Jika berimam)
ataupun
“Sahaja aku solat sunat khusuf dua rakaat kerana Allah Ta’ala” – (Jika solat seorang diri)

Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah.

Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud.

Iaitu seperti berikut :



RAKAAT PERTAMA

Niat solat Gerhana, Takbir
Baca Surah Al-Fatihah dan surah
Rukuk
I’tidal
Baca Al-Fatihah dan surah
Rukuk.
I’tidal.
Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.

RAKAAT KEDUA

Takbir rakaat ke-2.
Baca Al-Fatihah dan surah.
Rukuk.
I’tidal,
Baca Al-Fatihah dan surah.
Rukuk.
I’tidal.
Sujud
Tahiyyat Akhir



NOTA:

*Sunat dibaca nyaring pada bacaan fatihah dan surah semasa sembahyang gerhana bulan, tidak disunatkan baca secara nyaring pada sembahyang gerhana matahari.

*Setelah selesai sembahyang disunatkan membaca khutbah seperti dua khutbah hari raya, tetapi tidak disunatkan takbir pada dua khutbah itu.

Menurut laman web Mufti Wilayah Persekutuan, arahan Nabi Muhammad ialah, apabila melihat gerhana maka disunatkan untuk melakukan beberapa perkara.
Antaranya termasuk menunaikan solat sunat gerhana bulan (solat sunat khusuf), berzikir mengingati Allah, berdoa dan beristighfar memohon keampunan Allah.



Selepas Kelantan, hampir 11,000 di Kedah pula tak hadir ambil vaksin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker