Bella tak gentar tentangan perjuangkan Palestin
Memiliki darah Palestin, model terkenal, Bella Hadid lantang menyuarakan sokongan kepada penduduk Gaza sejak pergolakan tercetus dan kekejaman terus dilakukan rejim Zionis ke atas rakyat tidak berdosa.
Bella atau nama penuh, Isabella Khair Hadid, 26, menunjukkan sokongan padu kepada Palestin apabila menyertai protes terhadap konflik Israel-Palestin pada 16 Mei lalu.
Di laman Instagram (IG), Bella memuat naik foto dan video menghadiri perhimpunan memperjuangkan nasib rakyat Palestin di New York, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.
Melalui entri di laman sosial, Bella gembira dapat berkumpul dengan warga Palestin yang disifatkan cantik, bijak, saling menghormati, menyayangi dan baik hati.
“Ini adalah perjuangan untuk Palestin sehingga negara ini bebas. Saya sayangkan keluarga, keturunan saya dan Palestin. Saya akan terus berdiri dan menyokong mereka untuk mendapatkan kebebasan.
“Saya berdoa untuk dunia yang lebih baik bagi orang saya dan insan di sekeliling mereka,” kata anak mogul hartanah keturunan Palestin ini, Mohamed Hadid.
Disebabkan kelantangan menzahirkan sokongan ke atas rakyat Palestin, Bella dilaporkan tidak lagi dinamakan sebagai wajah jenama barangan mewah Perancis, Dior.
Tular dalam media sosial, ramai meluahkan rasa tidak puas hati andai benar Bella tidak lagi menjadi pilihan Dior, lapor agensi.
Netizen mempersoalkan mengapa Bella menjadi mangsa diskriminasi sedangkan selebriti lain seperti bintang Wonder Woman, Gal Gadot yang mempertahankan negara asalnya, Israel, dibiarkan.
Pengguna media sosial turut berkongsi maklumat konon iklan yang memaparkan wajah Bella di beberapa cawangan kedai jenama mewah, Micheal Kors diturunkan. Namun, laman web jenama itu masih mengekalkan iklan memaparkan Bella.
Bella dilaporkan turut mengutuk individu disifatkan hipokrit yang menggunakan gerakan pro-Palestin sebagai alasan untuk melontarkan kebencian terhadap orang Yahudi.
“Dengan bersuara mengenai hak asasi rakyat Palestin, saya tidak pernah membenarkan keganasan atau kebencian terhadap komuniti Yahudi.
“Setiap orang berhak merasa aman tanpa mengira agama dari tempat asalnya atau tindakan pemerintah mereka,” kata adik supermodel terkemuka, Gigi ini.
Selain Bella dan Gigi, penyanyi Dua Lipa juga lantang menzahirkan sokongan kepada rakyat Palestin.
Lipa turut menyerang sebuah organisasi yang mengkritik pendiriannya mengenai konflik Israel-Gaza, lapor agensi. Lipa membalas serangan itu dengan mendakwa pihak terbabit tanpa segan silu menggunakan namanya untuk menjayakan kempen buruk melalui berita palsu dan pembohongan terang-terangan.
“Saya sama sekali menolak tuduhan palsu dan dahsyat yang disiarkan dalam iklan di New York Times yang dikeluarkan World Values Network.
“Ini adalah harga yang anda perlu bayar untuk mempertahankan hak asasi rakyat Palestin. Tindakan Israel di Palestin mengikut Human Rights Watch dan kumpulan hak asasi manusia, Israel B’Tselem adalah suatu bentuk penganiayaan dan diskriminasi.
“Saya menegakkan perkara ini kerana percaya setiap orang iaitu Yahudi, Muslim dan Kristian, mempunyai hak untuk hidup dalam aman damai sebagai warga negara pilihan.
“Saya menunjukkan solidariti kepada semua insan tertindas dan menolak semua bentuk perkauman,” katanya. AGENSI
Bella Hadid Diugut Bunuh, Kontrak Tamat
You must be logged in to post a comment.