Pegawai perubatan wajib tunjuk picagari vaksin Covid-19 kepada penerima
Arahan telah dikeluarkan kepada pegawai perubatan yang membantu dalam usaha vaksinasi Covid-19 di bawah ProtectHealth Malaysia untuk menunjukkan kepada penerima vaksin picagari yang diisi dengan vaksin Covid-19 di dalamnya.
Perkembangan ini hadir di tengah dakwaan bahawa beberapa pegawai perubatan memberi dos vaksin dalam kuantiti yang kurang bagi program sukarela vaksin AstraZeneca.
Malaysiakini melihat mesej yang memberitahu semua pihak yang memberikan vaksin AstraZeneca Covid-19 untuk menunjukkan picagari serta jarum suntikan yang kosong setelah vaksinasi.
Mesej itu menambah bahawa mereka harus memastikan jumlah yang betul ditunjukkan – iaitu 0.5ml.
Seorang pegawai Kementerian Kesihatan mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa mesej itu sahih.
Aduan mengenai kekurangan dos muncul setelah sebilangan orang merakamkan vaksinasi mereka semasa menerima suntikan.
Beberapa penerima vaksin kemudian menyedari bahawa vaksin yang diberikan “terlalu sedikit” berdasarkan kuantiti dalam jarum suntikan.
Sekurang-kurangnya dua pengadu tersebut memberitahu kepada Malaysiakini bahawa dos mereka telah ditambah selepas membuat aduan.
Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) mengatakan bahawa pihaknya sedang menyiasat kes-kes tersebut.
ProtectHealth Malaysia adalah inisiatif di bawah Kementerian Kesihatan yang diselaraskan dengan pegawai perubatan di sektor swasta untuk mempermudah program vaksinasi Covid-19. Mk
You must be logged in to post a comment.