Anggota polis hilang mak, ayah, adik…’


KUALA LUMPUR: Sepertiga Syawal berlalu memahat detik memilukan buat seorang anggota polis yang menanggung beban kehilangan tiga ahli keluarga akibat COVID-19.

Dalam selang enam jam, Lans Koperal Siti Nurul Hawana Amran dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Daerah Sentul di sini, hanya mampu mengalirkan air mata apabila menerima berita pemergian ibu dan bapanya di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Jumaat lalu.

Ibunya, Hasminah Parmin, 57, disahkan meninggal dunia pada jam 4 pagi sebelum disusuli bapanya, Amran Sadon, 56, enam jam kemudian.

Dugaan Siti Nurul Hawana tidak terhenti di situ apabila adik bongsunya, Muhammad Luqman Idham, 20, disahkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, jam 6 pagi tadi.

Ketika dihubungi BH hari ini, Siti Nurul Hawana bagai berperang dengan perasaan apabila sesekali sebak berkongsi kisah kehilangan besar dalam hidupnya, namun tetap tenang menerima takdir.

“Ibu dan ayah saya meninggal dunia pada Jumaat. Hari yang baik dan moga kematian mereka diterima sebagai syahid.

“Belum hilang kesedihan di hati, saya mendapat berita pagi tadi mengenai pemergian adik bongsu saya, juga kerana COVID-19.

“Susah nak digambarkan apa yang dirasa ketika ini. Kehilangan ini amat besar tetapi saya cuma boleh berdoa semoga roh mereka ditempatkan bersama mereka yang beriman.

“Saya perlu kuat meneruskan kehidupan. Allah sahaja yang tahu perasaan saya,” katanya.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, seorang adik ipar dan anak saudaranya yang masih bayi turut disahkan positif COVID-19 serta menjalani kuarantin di rumah.

Siti Nurul Hawana sudah melengkapi pengambilan dua dos vaksin pada 7 Mei lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, mengucapkan takziah kepada Siti Nurul Hawana dan semua ahli keluarganya atas kehilangan tiga ahli keluarganya.

“Saya ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga beliau.

“Saya harap orang ramai sedar, dalam keadaan genting seperti ini, anggota polis juga kehilangan ahli keluarga akibat COVID-19.

“Walaupun tertekan apabila mendapat tahu ada ahli keluarga dijangkiti COVID-19, pegawai dan anggota polis masih menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara,” katanya.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada Siti Nurul Hawana di PPUKM, semalam. BH

Tiga faktor kes kematian COVID-19 meningkat

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker