Tiga faktor kes kematian COVID-19 meningkat


Peningkatan kadar kematian berikutan COVID-19 di negara ini dipercayai berpunca daripada tiga faktor utama.

Ia merangkumi sistem perkhidmatan kesihatan berada pada tahap genting ketika ini, kelesuan petugas kesihatan dan pesakit positif lewat di bawa ke hospital untuk mendapat rawatan.

Rantaian kesan ‘domino’ yang tercetus dalam tempoh mencecah 17 bulan ini menyaksikan tumpuan kerja petugas kesihatan dalam memberikan rawatan kepada pesakit, berkemungkinan semakin merosot saban hari.

Pakar epidemiologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, berkata ketegangan kerja dalam perkhidmatan kesihatan pada Januari dan Februari lalu dilihat tidak begitu ketara.



Katanya, hal itu kerana langkah mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 menyaksikan bebanan sektor perkhidmatan kesihatan dikongsi petugas sektor swasta.

“Pandemik ini seperti ‘maraton’, tidak berhenti langsung, justeru ia memberi ketegangan kepada petugas kesihatan yang sukar untuk memberikan tumpuan.

“Kalau dulu, tumpuan boleh diberikan kepada jumlah pesakit mengikut kapasiti masing-masing, tetapi kini ia melebihi nilai ambang tekanan kerja.

“Oleh itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ada memberikan amaran berhubung risiko sistem perkhidmatan ini menjadi lumpuh, sekiranya peningkatan kes dibendung,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.



Kadar kematian berikutan COVID-19 dalam tempoh 24 jam di negara ini semakin meruncing apabila membabitkan 39 orang, pada 12 Mei lalu dan meningkat tiga hari kemudian kepada 44 orang.

Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICT), Kementerian Kesihatan (KKM), Dr P Kalaiarasu, sebelum ini dilaporkan berkata empat daripada setiap 1,000 individu disahkan positif COVID-19 berkemungkinan menemui ajal, dengan 68 peratus kematian ketika membabitkan warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Dr Malina berkata, penularan COVID-19 semakin pantas dalam kalangan komuniti, dipercayai berikutan varian baharu seperti dari Afrika Selatan dan India turut menyumbang kepada kes pesakit lambat dibawa ke hospital.

Kelewatan pengurusan kes, katanya, berpunca daripada faktor penularan jangkitan tanpa gejala dan kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), khususnya dalam kalangan generasi muda.



“Ada pesakit COVID-19 dibawa ke hospital, sudah meninggal, contoh tiga kes semalam, justeru ia harus ditangani secepat mungkin.

“Sikap sambil lewa dengan tidak mematuhi SOP, memakai pelitup muka secara ‘wayang’ dan acuh tidak acuh terhadap bahaya COVID-19 bakal mengundang malapetaka.

“Justeru, saya mencadangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya seperti fasa pertama dulu dilaksanakan sekali lagi, untuk tempoh dua minggu.

“Biar kita sakit sikit, tetapi berupaya membendung wabak ini sebelum sudah terlalu lambat untuk berbuat demikian,” katanya.



Pakar virologi dari Universiti Malaya (UM), Prof Dr Sazaly Abu Bakar, yang menyuarakan nada sama berkata, jangkitan COVID-19 secara lebih meluas, mengatasi jangkaan sebenar dalam kalangan komuniti mungkin menjadi punca peningkatan kadar kematian.

Katanya, ia mencetuskan fenomena baharu dalam suasana pandemik ketika ini apabila segelintir individu dijangkiti COVID-19 didapati tiba-tiba gagal bernafas dan terpaksa dimasukkan terus ke unit rawatan rapi (ICU).

“Ini bermaksud mereka berkemungkinan sudah berada di fasa tiga atau empat COVID-19 dan hampir 20 hingga 30 peratus daripadanya memerlukan bantuan pernafasan apabila ditempatkan di ICU.

“Daripada perangkaan berkenaan, hampir 50 peratus daripadanya mula berdepan risiko menemui ajal ketika dalam rawatan di ICU,” katanya. BH



Katil wad ICU di Sarawak penuh

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker