Bank di Malaysia raih manfaat kepelbagaian ekonomi


KUALA LUMPUR: Bank-bank di Malaysia dengan unjuran stabil A3 menerima manfaat daripada ekonomi yang pelbagai dan berdaya saing dengan sumber asli yang banyak, demikian menurut Moody’s Investors Service.

Bank-bank berkenaan memanfaatkan institusi eksekutif dan perundangan di Malaysia yang kukuh dan menunjukkan penggubalan dasar makroekonomi berkesan secara konsisten, seperti dibuktikan dalam rekod prestasi kestabilan kewangan negara.

“Kami turut menjangkakan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia yang sebenar akan meningkat kepada 5.0 hingga 5.5 peratus pada 2021 selepas menguncup 5.6 peratus pada 2020 akibat gangguan yang wujud daripada pandemik COVID-19,” kata agensi penarafan itu dalam nota penyelidikannya.

Moody’s menjangkakan prospek pertumbuhan Malaysia akan kekal kukuh, disokong oleh infrastruktur yang maju, perkhidmatan yang berdaya saing dan sektor pembuatan, serta sumber asli yang banyak, selain daya tahan pertumbuhannya yang turut disokong oleh kepelbagaian ekonomi.

Untuk 2021, menurutnya, peningkatan KDNK sebenar Malaysia akan dipacu oleh kesan asas dan pakej rangsangan kerajaan meskipun dengan sekatan pergerakan dan aktiviti ekoran jangkitan harian COVID-19 yang masih tinggi, mempengaruhi pemulihan.

Tahap pemulihan ekonomi akan turut bergantung kepada kadar pelaksanaan imunisasi dan keberkesanan vaksin di peringkat tempatan dan global, katanya.

Moody’s turut menegaskan bahawa penilaiannya terhadap kekuatan institusi di Malaysia mencerminkan undang-undang negara yang bertambah baik, institusi eksekutif dan perundangan kukuh dan rekod prestasi penggubalan dasar makroekonomi yang berkesan.

Kekuatan ini, katanya, adalah seimbang dengan kelemahan yang dirasakan dalam kawalan rasuah di negara ini, semak dan imbang, dan suara dan kebertanggungjawapan yang berpandukan petunjuk tadbir urus antarabangsa.

“Malaysia mempunyai rekod prestasi penggubalan dasar makroekonomi yang berkesan. Inflasi negara kekal rendah dan stabil sejak dekad yang lepas walaupun harga komoditi dan pasaran kewangan yang turun naik.

“Walaupun pertumbuhan kredit adalah pada purata kira-kira 8.0 peratus tahun ke tahun menghampiri pertumbuhan KDNK nominal negara dan naik turun yang terbatas dalam tempoh yang sama, justeru, menyumbang kepada kestabilan kewangan,” katanya.

Mengenai pandemik, ia berkata bank pusat melonggarkan dasar monetari dan melaksanakan banyak langkah kecairan untuk menyokong isi rumah dan perniagaan dan menyediakan skim kewangan untuk perniagaan kecil, sambil membenarkan bank untuk menangguhkan dan menstruktur semula bayaran pinjaman kepada peminjam yang terjejas.

Kerajaan turut mengumumkan pakej ekonomi berjumlah RM305 bilion (23 peratus daripada KDNK) pada 2020 dan menunjukkan komitmennya untuk menyokong ekonomi menerusi belanjawan RM322.5 bilion bagi 2021, katanya.

Bagaimanapun, agensi penarafan itu berkata, walaupun institusi boleh dipercayai dan berkesan, kapasiti kerajaan untuk memberi respons kepada kejutan, dikekang oleh asas pendapatan yang terhad dan beban hutang yang tinggi.

“Ketidakstabilan politik turut berpotensi mengalihkan perhatian kerajaan daripada keutamaan dasarnya, terutama pembaharuan jangka panjang yang boleh memperkukuhkan profil kredit dari masa ke masa,” katanya.

Mengenai penilaian keadaan kredit di Malaysia, Moody’s berkata ia mencerminkan risiko aset kepada bank berikutan peningkatan leveraj dalam kalangan isi rumah dan perniagaan.

Hutang isi rumah sebagai peratusan KDNK meningkat kepada 93.3 peratus setakat akhir 2020 daripada 82.9 peratus setahun lepas, walaupun kenaikan itu disebabkan oleh penguncupan KDNK berbanding pengembangan kredit.

Malah, menurutnya, nisbah hutang korporat bukan kewangan kepada KDNK meningkat 110.0 peratus setakat akhir 2020 daripada 99.4 peratus setahun lepas.

“Leveraj yang tinggi itu akan memburukkan lagi cabaran yang dihadapi peminjam dalam keadaan penurunan ekonomi ini,” katanya.

Pada 2020, pandemik COVID-19 menjejaskan ekonomi dalam negeri dengan peminjam daripada perniagaan berkaitan pelancongan, perusahaan kecil dan sederhana dan isi rumah berpendapatan rendah adalah antara yang paling terjejas, katanya.

Untuk itu, bank melanjutkan bantuan bayaran balik kepada peminjam yang terjejas pendapatan.

Sehingga 31 Disember 2020, pinjaman di bawah bayaran balik masing-masing menyumbang 8.9 peratus dan 17 peratus daripada jumlah pinjaman isi rumah dan perniagaan. BH

PKP3.0: Pemuda UMNO desak pemberian moratorium

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker