Neelofa punya hal, MB Negeri Sembilan, Selangor bincang soal jual beli Nilai 3


Susulan kes Neelofa, Menteri Besar Negeri Sembilan, Selangor bincang soal ‘jual beli’ Nilai 3

Persoalan mengapa selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz tidak didakwa kerana merentas negeri terus menjadi bahan bualan segelintir rakyat di negara ini.

Dalam perbicangan tersebut, ada netizen berseloroh mendakwa, tiada kesalahan rentas negeri dikenakan ke atas pasangan itu memandangkan Kawasan Perindustrian Nilai 3, adalah di bawah jajahan negeri Selangor.

Kehangatan pendebatan dan perbincangan itu turut menarik perhatian Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan rakan sejawatannya dari Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung pentadbiran kawasan tersebut.

Amirudin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tua, membangkitkan peristiwa sejarah di mana Lukut, yang asalnya di bawah jajah Selangor telah diserahkan kepada Negeri Sembilan melalui satu perjanjian pada 1880.

“Lukut dibuka pada kurun ke-19 oleh Raja Busu semasa pemerintahan Sultan Muhamad Shah (Sultan Selangor ke-3) dan menjadi bandar perlombongan yang pesat dan kaya, hingga menarik kehadiran komuniti Hailam di sana sebagai pengusaha lombong.

“Penduduk Lukut semakin ramai menjelang 1818, dipercayai populasi penduduknya seramai 1,000 orang di mana 1/3 adalah orang-orang Cina.Hasil bijih timah juga semakin meningkat dan dipercayai dapat diperolehi sebanyak 3,600 pikul setahun,” kata Amirudin melalui ciapan bersiri di Twitternya.

Amirudin berkata, Lukut kemudian menjadi terbiar, sebelum dibangunkan semula oleh Raja Jaafar bersama dua anakandanya, Raja Abdullah dan Raja Jumaat sehingga bandar itu menjadi maju dan setanding dengan bandar-bandar besar lain di Selangor.

Namun, ujarnya lagi, kemerosotan hasil bijih timah menjadi faktor penghijrahan penduduk Lukut ke kawasan lain.
“Pada 31 Julai 1880 satu perjumpaan antara Sultan Abdul Samad, Raja Bot, Dato’ Kelana Sungai Ujong dan pihak British telah diadakan di Singapura.

“Hasilnya Lukut dimasukkan ke dalam pemerintahan Sungai Ujong (kini Seremban yang merupakan ibu negeri bagi Negeri Sembilan). Penyerahan itu juga bersekali penyerahan lokaliti Beranang dan Semenyih kepada Selangor,” jelas Menteri Besar Selangor itu lagi.

Ciapan bersiri itu nyata menarik perhatian Aminuddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat, dan berseloroh dengan Amirudin sekiranya Selangor berhajat untuk mendapatkan kembali Nilai 3.

“Berapa harga nak beli Nilai 3 ya? He he he,” seloroh Menteri Besar Negeri Sembilan itu lagi.

Terdahulu, Neelofa, 32, dan suaminya yang turut dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Riz, 26, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban, atas dakwaan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kerana gagal membuat imbasan melalui aplikasi MySejahtera.

Kedua-dua individu tersebut didakwa melakukan kesalahan tersebut sewaktu membeli barangan di sebuah kedai karpet di Nilai 3, pada 2 Mei lalu.
Mereka berdua telah dikenakan ikat jamin RM15,000 dan sebutan kes semula pada 4 Jun hadapan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Supritendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, kertas siasatan berhubung dakwaan merentas negeri telah dihantar semula ke Pejabat Peguam Negara untuk penelitian. Awani

Neelofa kantoi rentas negeri lagi, kali ini didakwa ke Nilai 3 beli karpet

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker