8.2 juta vaksin Sinovac disalur untuk PICK menjelang Jun, kata Ismail


Sebanyak 8.2 juta dos vaksin Sinovac akan dibekalkan menjelang penghujung Jun ini bagi mempercepatkan Fasa 3 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ia membabitkan 4.4 juta vaksin diimport dari China manakala 3.8 juta pula disediakan oleh Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd, satu-satunya syarikat dalam negara diberi hak untuk mengisi dan membotolkan semula vaksin jenis Sinovac.

“Jadi tidak timbul isu kerajaan kekurangan vaksin lagi kerana Pharmaniaga mampu memberikan sejumlah vaksin sehingga akhir Jun bagi membantu proses vaksinasi kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas melawat kilang Pharmaniaga di Shah Alam, hari ini.

Ismail turut menolak dakwaan pembangkang bahawa syarikat berkenaan diberikan monopoli untuk mengisi dan membotolkan semula semua jenis vaksin.

“Saya hendak jelaskan bahawa dakwaan pembangkang itu tidak benar, Pharmaniaga hanya dibenarkan membotolkan vaksin jenis Sinovac.

“Difahamkan vaksin ini (Sinovac) adalah satu-satunya vaksin disahkan halal,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail berkata kerajaan akan menggunakan Hotspot Identification For Dynamic Engagement (HIDE) bagi menutup premis termasuk kilang dan pusat membeli- belah sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

“Saya sudah umumkan sebelum ini lebih 70 kilang ditutup kerana melanggar SOP, sekarang ini kita guna HIDE untuk kesan kawasan berisiko tinggi.

“Kita akan tutup premis, tidak kira kilang atau pusat membeli-belah. Jadi tiada isu ada ‘kawtim’ atau tiada ‘kawtim’ (dalam membenarkan premis beroperasi),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Zulkarnain Md Eusope, berkata pihaknya kini sedang dalam proses permohonan untuk meningkatkan kapasiti pembotolan vaksin daripada 2 juta sebulan kepada 4 juta.

ADVERTISING

“Kita sedang meneliti laporan dari Sinovac dan pada masa sama memohon daripada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan,” katanya.

Zulkarnain berkata, pengisian serta pembotolan semula vaksin Sinovac dilakukan dalam negara dapat menjimatkan kos kerajaan dan mempercepatkan pembekalannya.

“Sekiranya berlaku kekurangan dari pihak kerajaan untuk dibawa ke seluruh negara, kita mempunyai simpanan mencukupi,” katanya. FMT

Tawaran 2 juta dos Sinovac kepada P Pinang ‘SCAM’ – KJ

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker