Guna Anjing Kesan Individu Dijangkiti Virus COVID-19

Thailand memulakan penggunaan anjing pengesan bagi mengesan individu yang dijangkiti virus COVID-19 pada Jumaat.

Tiga daripada enam anjing baka Labrador yang dilatih khas memulakan tugas di Universiti Chulalongkorn, Bangkok selepas berjaya mengesan 95 peratus daripada sampel yang diberikan semasa latihan.

Ketika latihan dilakukan bulan lepas, anjing-anjing tersebut diberi lebih daripada 2,000 sampel peluh manusia.



Menurut ketua penyelidik projek berkenaan, Thitiwat Sirprasart, anjing berkenaan hanya perlu menghidu sampel peluh seorang individu.

Sampel tersebut diletakkan di dalam bekas besi dan anjing tersebut akan menghidunya satu per satu.

Apabila anjing berkenaan mengesan virus COVID-19, ia akan berhenti dan menghala hidungnya kepada sampel berkenaan.

“Anjing berkenaan dapat mengesan virus COVID-19 itu dengan pantas.



“Ini membolehkan kita mengasingkan mereka yang telah dijangkiti terutamanya mereka yang tidak menunjukkan sebarang simptom,” katanya.

Seorang lagi penyelidik Pattama Torvorapanit menjelaskan, setiap virus akan mengeluarkan bau tersendiri apabila menjangkiti badan manusia.

Bau ini yang akan dikesan anjing pengesan tersebut.



Anjing pengesan ini diharap dapat membantu usaha pengesanan di lapangan terbang dan di pelabuhan serta dikatakan lebih efektif daripada saringan suhu.

Keadaan COVID-19 di Thailand semakin memburuk dengan empat kali ganda kes dilaporkan baru-baru ini.

Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 ketika ini mencapai 123,066 kes manakala kes kematian sebanyak 735 kes, tujuh kali ganda daripada jumlah kes sebelum ini sejak awal April lalu.-Reuters



Pingat keberanian dianugerah kepada tikus pengesan periuk api [Video]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker