Ahli politik tidak seharusnya dibenar rentas negeri – Pakar Kesihatan Awam
Kerajaan perlu memperketatkan penguatkuasaan termasuk tidak membenarkan ahli politik untuk merentas negeri demi membendung penularan COVID-19, tegas Pakar Kesihatan Awam (Ekonomi, Polisi dan Pengurusan Kesihatan), Prof. Datuk Dr Syed Mohamad Aljunid Syed Junid.
Menurut beliau, setiap pergerakan seorang ahli politik bersama rombongan pegawainya berpotensi kepada penyebaran wabak berkenaan.
Gesaan itu dibuat beliau ekoran seakan terdapat pengecualian diberikan kepada segelintir golongan khususnya ahli politik yang dikesan oleh rakyat seakan bebas bergerak ke mana sahaja.
“Ini satu perkara pokok kita dapati apa yang berlaku pada PKP 2.0 dan 3.0… ada banyak pengecualian dibenarkan misalnya dibenarkan rentas negeri (kepada) golongan tertentu khususnya ahli politik, Ahli Parlimen dibenarkan bergerak.
“Apabila mereka bergerak, mereka bawa satu pasukan, ini jelas kita lihat kumpulan (yang) terlibat tidak mematuhi SOP.
“Kenapa diberikan pengecualian begitu? Saya pun hairan… (tindakan itu) menyebabkan kelemahan PKP, nampak kita tidak jalankan satu tindakan saksama, jadi timbul golongan kayangan dan sebagainya,” katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI.
Tegas Dr Syed Mohamad Aljunid, penguatkuasaan lebih efektif dan ketat serta adil akan membuahkan hasil khususnya apabila pergerakan rentas negeri dikurangkan.
Mengulas lanjut mengenai keperluan saringan besar-besaran dijalankan di seluruh negara sepertimana seruan rakyat ketika ini, beliau berkata, usaha itu memerlukan tenaga kerja yang banyak.
Dalam masa sama, katanya, sudah tiba masanya kerjasama secara lebih komprehensif dijalin di antara kerajaan negeri dan Pusat dalam membendung penularan COVID-19.
Jelas beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga tidak mempunyai keupayaan untuk memenuhi keperluan sekiranya saringan secara besar-besaran itu dilakukan.
Bagaimanapun saringan besar-besaran serta kerjasama diantara kerajaan negeri dan pusat itu, jelasnya memerlukan ‘political will’ agar kemenangan menentang COVID-19 berpihak kepada negara.
“KKM harus bekerjasama dan dapatkan bantuan daripada sektor lain terutama kerajaan negeri untuk memobilisasikan penduduk tempatan dan kakitangan di dalam kerajaan negeri bantu dalam proses ujian ini,” katanya lagi.
Dr Syed Mohamad Aljunid juga menarik perhatian bagaimana kerajaan Indonesia menggembeleng semua kementerian dalam mengawal COVID-19 yang memperlihatkan keberkesanan apabila kes baharu berjaya dikurangkan.
Katanya, konsep sentralisasi yang diambil oleh Indonesia perlu dijadikan contoh di negara ini terutamanya dalam melibatkan kementerian dan agensi kerajaan lain dalam membantu KKM.
“Apa yang perlu kita lakukan, kita perluaskan usaha mengawal COVID-19… bukan tumpu pada satu kementerian sahaja khususnya KKM dengan staf tidak cukup.
“Begitu juga negara China, mempunyai pemerintahan berpusat tetapi aktiviti kesihatannya diberikan kepada wilayah (untuk) melakukan aktiviti tersebut, dengan cara itu kita boleh melakukan mobilisasi daripada sumber-sumber manusia ada di daerah membantu staf KKM melakukan aktivitinya,” tegasnya lagi.
Jika konsep itu dapat diperkasakan, beliau optimis, lebih banyak kejayaan menentang COVID-19 dapat dicapai di negara ini.
Maaf mak, abah, ‘Spiderman’ tak dapat balik raya…Tak lepas rentas negeri
You must be logged in to post a comment.