Ambulans, kereta bertembung, 4 cedera

Sebaran :


Empat individu cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah ambulans dengan kereta di Kilometer 55 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 3.45 petang.

“Siasatan awal mendapati ambulans berkenaan dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun bersama dua penumpang masing-masing seorang lelaki dan wanita yang bertugas sebagai pembantu perubatan kesihatan di Hospital Kuala Kubu Bharu.

“Ketika kejadian itu, ambulans berkenaan dalam perjalanan dari Hospital Selayang ke Hospital Kuala Kubu Bharu sebelum bertembung dengan kereta dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun yang masuk ke laluannya,” katanya dalam satu kenyataan.



Arsad berkata, kemalangan itu menyebabkan ambulans berkenaan terbalik.

“Kemalangan itu mengakibatkan pemandu ambulans serta dua penumpangnya mengalami cedera ringan, manakala pemandu kereta cedera di kepala serta tangan.

“Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk menerima rawatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil di balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut.



“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.23 petang.

“Seramai lima anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati berlaku kemalangan membabitkan sebuah ambulans dengan sebuah kereta.



“Anggota bomba membantu membersihkan jalan akibat kemalangan itu menggunakan aliran hos air tangki pam jentera,” katanya. HM

(Video) : Ambulan bawa pesakit COVID-19 kemalangan di Alor Setar


Sebaran :

Leave a Reply