Petir tidak boleh sebabkan kereta meletup


Kuala Lumpur: Kereta dan kapal terbang adalah kenderaan yang dibina selamat dan tidak akan meletup akibat dipanah petir.

Pensyarah Kanan Sekolah Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Dr Jasrul Jamani Jamian berkata, berada di dalam kenderaan lebih selamat ketika hujan dan petir berbanding berlindung di bawah pokok.

“Jika duduk di bawah pokok kemungkinan untuk disambar petir adalah besar tetapi kita selamat jika duduk dalam kenderaan seperti kereta atau kapal terbang.

“Setakat ini tiada lagi kes kereta meletup disebabkan dipanah petir malah mengikut saintifik, kereta yang dipanah petir tidak akan menyebabkan berlakunya percikan api,” katanya ketika dihubungi.



Beliau diminta mengulas kejadian sebuah kereta membawa mercun terbakar dan meletup dipercayai dipanah petir di Kampung Sireh, Kota Bharu, Kelantan petang semalam.

Dr Jasrul berkata, kemungkinan besar kejadian kereta meletup itu disebabkan oleh mercun dan bukan petir.

“Jika petir menyambar kereta pun kita yang ada di dalam tidak akan terkena renjatan dan kemungkinan besar kejadian kereta meletup itu disebabkan oleh mercun itu bukan petir.

“Kejadian itu mungkin disebabkan mercun bola itu sama ada ia termampat, keadaan but kereta atau kereta itu sendiri yang menyebabkan mercun itu aktif sehingga menyebabkan berlaku letupan,” katanya.



Beliau berkata, kereta juga menggunakan konsep Farady Cage di mana jika berlaku pengaliran elektrik pada permukaan luar ia tidak akan bagi apa-apa impak pada benda yang berada di dalam kereta.

Harian Metro semalam melaporkan seorang lelaki maut dalam keadaan anggota badan hancur selepas kereta dipandunya meletup dipercayai dipanah petir dalam kejadian di Kampung Sireh.

Kejadian jam 5.38 petang itu menyebabkan kereta Proton Iswara dipandu mangsa rentung dan terputus dua.

Lima kenderaan lain yang berada berhampiran lokasi kejadian turut terbakar susulan letupan berkenaan.



Bagaimanapun difahamkan ketika kejadian mangsa merokok dan pada masa yang sama dalam kenderaan itu mempunyai mercun bola dalam jumlah yang banyak. HM

Kereta terputus dua, mercun bola meletup



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker