Lelaki mati kurang sejam selepas ditahan polis Gombak


Satu lagi kematian dalam tahanan berlaku di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dengan keluarga pengawal keselamatan berusia 42 tahun itu berkata, lelaki itu meninggal dunia kurang sejam selepas ditahan.

Ahli Tamilar Munnetra Kalagam Malaysia, Iswaree Subramaniam, yang berada di balai polis, mendakwa keluarga lelaki itu terkejut kerana Sivabalan Subramaniam ditahan untuk membantu siasatan pada 11.45 pagi tadi.

“Laporan kejadian polis menyatakan dia meninggal pada 12.25 tengah hari.

“Tetapi, polis hanya menghubungi adik perempuan Sivabalan kira-kira 3 petang untuk memberitahu abangnya dalam keadaan kritikal di Hospital Selayang,” katanya kepada FMT.

Beliau mempersoalkan perbezaan masa antara laporan kejadian dan dakwaan Sivabalan masih dalam keadaan kritikal “beberapa jam selepas kematiannya”.

Iswaree berkata, polis menahan Sivabalan berhubung kes pemerasan yang berlaku pada 2016.

Kematian Sivabalan menyusul kurang sebulan selepas IPD sama terbabit dalam kontroversi kematian peniaga susu lembu, A Ganapathy dalam tahanan polis.

Ganapathy meninggal dunia di hospital pada 18 April lalu, lebih sebulan selepas dibawa dari balai polis itu ke Hospital Selayang pada 8 Mac.

Kematian itu menyaksikan kemarahan pengguna media sosial menggunakan tanda pagar seperti ‘#JusticeForGanapathy’ dan ‘#BrutalityinMalaysia’.

Ibu Sivabalan Mageswari ditenangkan ahli Malaysia Tamilar Munnetra Kalagam.
Adik perempuan Sivabalan, Thanalechumy berkata, beliau menerima panggilan pada 2.58 petang tadi dari IPD Gombak memaklumkan abangnya dalam keadaan serius di Hospital Selayang.

“Tolong hantar seseorang dari keluarga anda untuk datang menemuinya,” pegawai itu memberitahunya.

Katanya, kira-kira 4 petang, seorang polis memberitahu ibunya yang Sivabalan meninggal dunia kerana kesukaran bernafas. Mereka kemudiannya diminta ke Jabatan Forensik.

“Hingga kini, kami masih tidak tahu apa yang berlaku kepada abang saya, melainkan polis itu beritahu saya, Sivabalan meninggal dunia pada 12.25 tengah hari,” katanya sambil mempersoalkan mengapa polis hanya menghubungi mereka kira-kira 3 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Arifai Tarawe, memberitahu FMT beliau sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.

“Kami akan menyiasat perkara itu,” katanya.

K Ganesh, peguam yang menguruskan kes Ganapathy, turut menerima kes Sivabalan.

“Mayat Sivabalan kini di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur dan kami akan siasat lanjut apa yang berlaku,” katanya kepada FMT.

Selama bertahun-tahun, banyak insiden kematian dalam tahanan menjadi tajuk utama berita. Antaranya Kugan Ananthan (2009), Sugumar Chelladury (2013), Karuna Nithi Palani Velu (2013), Dharmandran Narayansamy (2013) dan Balamurugan Suppiah (2017).

Ini mendorong aktivis dan pengguna media sosial meminta kerajaan menghentikan kekejaman polis dan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). FMT

Ketua Polis Gombak ancam saman FMT RM10 juta berhubung laporan pertukarannya ke Bukit Aman

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker