Petrol keperluan semua rakyat, bukan segelintir golongan.
KUALA LUMPUR 6 Okt. – UMNO tidak bersetuju subsidi harga petrol melalui mekanisme yang dilaksanakan ketika ini diubah kepada subsidi petrol bersasar.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, mekanisme sedia ada perlu dikekalkan kerana petrol merupakan keperluan semua peringkat rakyat.
“Penerima BSH (Bantuan Sara Hidup) tidak banyak guna petrol. M40 yang banyak. Kita tidak setuju sistem sekarang diubah,” katanya seperti dipetik portal Sinar Online semalam.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dijangka mengumumkan butiran penuh mengenai program subsidi petrol bersasar pada Isnin ini.
Program subsidi petrol bersasar akan dibayar secara tunai terus ke dalam akaun bank penerima yang layak, bukan menggunakan kad subsidi seperti dikatakan sebelum ini. – UTUSAN ONLINE