Muslihat derma masuk poket sendiri


Rakyat Malaysia terkenal dengan sikap pemurah hingga tidak lokek menghulurkan sumbangan sama ada kewangan atau barangan kepada mereka yang memerlukan.

Bagi umat Islam, bersedekah amat dituntut terutama ketika di bulan mulia Ramadan kerana memberikan ganjaran pahala berlipat ganda.

Namun ada pihak terutamanya bertopengkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengambil kesempatan di atas kemurahan hati umat Islam untuk kepentingan sendiri dan mengaut keuntungan mudah.

Niat melipatgandakan pahala dengan bersedekah khususnya sepanjang Ramadan membuka peluang kepada pihak tertentu mengambil kesempatan mengaut duit atas angin.



Selepas helah menggunakan nama sendiri untuk sumbangan disalurkan dapat dikesan masyarakat menyebabkan taktik menggunakan nama badan bukan kerajaan (NGO) kebajikan digunakan.

Individu licik ini melihat modus operandi menggunakan nama NGO ini lebih mudah meraih simpati penderma selain meningkatkan keyakinan untuk menderma.

Mereka akan menggunakan platform media sosial seperti Facebook dan aplikasi sembang WhatsApp untuk mencari mangsa.

Ada penderma yang tidak ragu-ragu kerana NGO yang digunakan adalah nama terkenal dan sering menghulurkan bantuan ke seluruh negara termasuk negara bergolak.



Walaupun nombor akaun bank diberikan adalah milik peribadi namun ia sukar dicurigai kerana pemangsa ini akan mengakui mereka adalah aktivis NGO berkenaan.

Mengakui kewujudan tindakan licik itu, Presiden Muslim Care Malaysia (Muslim Care), Zulkifli Wahijan berkata, pihaknya ada menerima aduan nama Muslim Care digunakan untuk mengutip derma secara haram.

Katanya, taktik menggunakan nama Muslim Care ini dipercayai sengaja dibuat kerana NGO berkenaan antara yang aktif menjalankan misi bantuan di Malaysia dan luar negara seperti Palestin serta Syria.

“Kami ada menerima aduan daripada orang ramai yang curiga apabila melihat tabung sumbangan dengan nama dan logo Muslim Care diletakkan di kawasan tumpuan ramai seperti pasar malam.



“Aktivis kami juga mengesan kejadian sama baru-baru ini namun tidak dapat bertemu dengan individu yang bertanggungjawab kerana hanya tabung saja diletakkan,” katanya kepada Harian Metro.

Malah, katanya, sindiket ini turut menggunakan media sosial untuk meraih sumbangan namun tidak menggunakan akaun bank rasmi Muslim Care.

Beliau berkata, tindakan ini mencemarkan nama baik NGO dan niat menderma orang ramai disalahgunakan.

“Tindakan ini menjejaskan nama baik NGO serta niat mulia untuk menderma diambil kesempatan bagi mereka yang mahu mencari pahala.



“Saya ingatkan mereka yang mahu ambil kesempatan agar menghentikan segera perbuatan haram kerana ia mencemarkan kesucian Islam.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati supaya tidak tertipu dan merujuk kepada NGO jika curiga,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Perak, Husnul Fikri Ramli berkata, ada individu yang terdesak sanggup menggunakan gambar profil WhatsApp wajah pengerusinya untuk meraih dana.

Katanya, tindakan berkenaan sudah dua kali dikesan sebelum ini selepas rayuan sumbangan dikongsi di dalam kumpulan WhatsApp daripada individu tidak dikenali.



“Selepas disemak, ternyata gambar dan rayuan sumbangan itu palsu dan digunakan mereka yang tidak bertanggungjawab mendapatkan sumbangan mudah.

“Individu ini menyasarkan yayasan yang terkenal kerana ia lebih mudah mendapat kepercayaan penderma tanpa ragu,” katanya.

Katanya, tindakan sedemikian dibimbangi akan mencemarkan nama sesebuah NGO itu jika ia terus disalahgunakan.

Mohon kebenaran sebelum kutip derma



Kuala Lumpur: Individu atau organisasi yang mahu membuat kutipan derma perlu membuat permohonan kebenaran dengan pihak berkuasa termasuk pejabat agama.

Pegawai Agama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr Zamihan Mat Zin berkata, sepatutnya individu yang mahu membuat kutipan dana dan sumbangan perlu mendapat kebenaran pihak berwajib terlebih dahulu sebelum menguar-uarkan aktiviti terbabit kepada umum.

Katanya, ini kerana jika aktiviti kutipan dijalankan tanpa kebenaran, ia menjadi satu kesalahan terhadap golongan terbabit walaupun niat atau aktiviti yang mereka jalankan itu baik.

“Sekiranya mereka dapat belanjakan wang kutipan itu secara betul namun tanpa kebenaran daripada majlis agama, tindakan mereka tetap salah dari segi undang-undang kerana majlis agama memang berkuasa bagi memberi kebenaran kepada individu, persatuan mahupun badan bukan kerajaan (NGO).

“Malah, jika diberi kebenaran mengutip dana, apakah mereka ada mekanisme telus untuk membelanjakan dana kepada kumpulan sasaran.

“Kita takut berlakunya salah guna kuasa, penyelewengan dan seumpamanya di sebalik kegiatan kebajikan itu,” katanya.

Beliau berkata, wajarnya perbuatan ini dipantau oleh pihak berkuasa terutama majlis agama di mana mereka boleh bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memantau, menangkap dan mendakwa mereka yg menjalankan kutipan derma secara haram ini.

Sementara itu, ditanya mengenai balasan yang akan diterima terhadap pihak tidak bertanggungjawab itu,

Zamihan yang juga Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) berkata, hukumnya haram, berdosa kerana menipu dan memanipulasi orang lain demi kepentingan sendiri.

“Mereka ini disediakan azab yang amat pedih di akhirat kelak.

“Nasihat saya, insaflah, berhentilah melakukan kerja yang jahat dan zalim ini.

“Carilah rezeki secara halal dan berintegriti demi masa depan akhirat yang lebih baik daripada nikmat dunia yang hanya sementara,” katanya. HM

Tipu sumbangan bina surau, bekas ketua kampung didenda RM150,000

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker