KKM akan perkenal ujian COVID-19 melalui air liur secara kendiri di rumah


Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperkenalkan ujian saringan COVID-19 melalui air liur secara kendiri di rumah tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kaedah itu bagi mengesan pesakit yang tidak bergejala yang mungkin sudah dijangkiti mereka yang positif COVID-19.

Beliau berkata buat masa ini, KKM sedang mengenal pasti dua syarikat yang akan membekalkan test kit berkenaan, di mana alat itu sedang dalam proses pendaftaran dengan Pihak Berkuasa Alatan Perubatan (MDA).

“Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan ujian terhadap kit itu yang dihasilkan oleh dua syarikat berbeza,” katanya dalam sidang media perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.



Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan yang KKM kini memulakan ujian COVID-19 menggunakan persampelan air liur, di beberapa hospital kerajaan.

Berdasarkan penilaian IMR, kaedah itu mempunyai sensitiviti sebanyak 96.67 peratus dan ketepatan iaitu spesifisiti 100 peratus.

Kaedah persampelan itu dilihat lebih selamat dan tidak invasif, berbanding persampelan dengan kaedah ‘nasopharyngeal’ serta ‘oropharyngeal’ swab, iaitu melalui hidung dan mulut.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata sekiranya hasil ujian menggunakan test kit itu menunjukkan individu berkenaan positif COVID-19, mereka masih perlu hadir ke fasiliti kesihatan KKM untuk pemeriksaan lanjut.



“Mereka masih perlu melakukan ujian lain. Kita juga akan melatih petugas kesihatan bagi memastikan kaedah pengambilan sampel air liur dilaksana dengan lebih tepat,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pusat dialisis tidak boleh menjadikan syarat wajib vaksinasi untuk pesakit buah pinggang mendapatkan rawatan dialisis.

“Tapi mungkin akan sampai satu masa kita (kerajaan), akan cadangkan golongan yang mempunyai sejarah penyakit komorbid perlu mendapatkan vaksin COVID-19,” katanya. Awani



Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker