Elizabeth, suami tinggal berasingan?

Elizabeth, suami tinggal berasingan?

KUALA LUMPUR:  Elizabeth, suami tinggal berasingan?  Ramai lelaki Melayu patah hati apabila gambar perkahwinan penyanyi dan pelakon seksi, Elizabeth Tan tersebar, dua bulan lalu.

Sukar mempercayai wanita idaman menjadi milik orang, ada juga yang mempertikaikan kesahihan gambar perkahwinan Elizabeth dengan usahawan, Siew Jim yang yang bertebaran dalam media sosial itu.

Lebih membuatkan peminat tidak tentu arah, apabila Elizabeth langsung tidak berkongsi momen indah pada hari bahagianya, sebaliknya wanita berusia 27 tahun sempat ‘mengenakan’ peminat dalam ruangan Instagram (IG) Story membuatkan ramai lelaki tidak keruan.



Namun, Elizabeth tidak mampu menyorok berita perkahwinan apabila bapanya, David Tan Suan Chew berkongsi foto perkahwinannya dalam laman Facebook.

Bertemunya di lokasi penggambaran supertele berjudul 100, Elizabeth mendedahkan, dia kehilangan beratus-ratus pengikut dalam IG, setiap hari.

“Ia membuatkan saya sangat sedih. Bayangkan, beratus-ratus ‘unfollow’ setiap hari disebabkan saya berkahwin.

“Saya tak menyangka ugutan peminat untuk ‘unfollow’ saya dalam IG adalah serius. Biarpun bergelar isteri, tetapi tiada banyak yang mengubah hidup saya.



“Peminat tidak tahu percaturan hidup kami. Saya dan suami memilih untuk tinggal berasingan. Sejak berkahwin, kami belum pernah tinggal sebumbung,” katanya kepada BH Online.

Pelakon filem Misteri Dilaila dan Abang Long Fadil 3 itu berkata, dia dan suaminya anak bongsu, jadi masing-masing tidak bersedia meninggalkan ibu.

Tinggal Berasingan

“Suami memilih untuk tinggal bersama ibunya. Sebagai anak bongsu, saya pula tidak bersedia meninggalkan ibu saya.

“Dari awal perkahwinan, kami sudah membuat perjanjian untuk tinggal berasingan. Kami hanya akan berjumpa apabila perlu. Mungkin seminggu atau dua minggu sekali.



“Saya seronok dengan kehidupan seperti ini, sekurang-kurangnya saya dan suami mempunyai ruang sendiri,” kata Elizabeth.

Elizabeth berkata, dia kini sibuk dengan dunia lakonan, lebih lagi terikat dengan penggambaran drama kepolisan terbitan Skop Production berjudul Gerak Khas Undercover sebanyak 30 episod.

“Saya jarang berada di rumah. Saya sibuk menjayakan penggambaran drama Gerak Khas Undercover sejak Februari lagi. Hingga kini, baru sempat menyiapkan 10 episod, jadi ada 20 episod lagi perlu disiapkan.

“Akibat terlalu sibuk, saya masih belum berkesempatan memasak untuk suami. Setakat biskut atau roti memang ada, tetapi untuk hidangan berat saya hanya membuat pesanan makanan. Lagipun, saya dan suami amat jarang berjumpa.



“Setakat ini, kami langsung tidak pernah berbincang untuk duduk sebumbung. Mungkin jika dikurniakan cahaya mata, barulah kami memikirkan soal ini,” katanya.

Ditanya apakah perkahwinan diaturkan keluarga, Elizabeth menafikannya. Bagaimanapun, Elizabeth berkongsi, dia mengikut kehendak ibu yang mahu melihatnya berumah tangga.

“Mama sudah lama minta saya berkahwin, jadi demi memuaskan hati mama, saya berkahwin sahajalah,” katanya.

Seronok kerana menerima tawaran

Berkongsi soal kerjaya, Elizabeth seronok kerana menerima tawaran lakonan tidak putus-putus.



Malah, katanya, dia tidak kisah walaupun terpaksa menunggu lama di lokasi penggambaran kerana dibayar untuk menunggu.

Akuinya, dia lebih seronok berlakon, biarpun upah diterima sebagai penyanyi menawarkan bayaran lima kali lebih tinggi berbanding lakonan.

“Saya lebih sukakan bidang lakonan berbanding nyanyian, sejak dahulu lagi. Bagaimanapun, saya mendapat peluang menyanyi terlebih dahulu. Jadi apabila dapat mengembangkan bakat dalam lakonan, saya tentulah tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini.

“Saya seronok biarpun berlakon lebih memenatkan kerana terpaksa menunggu. Saya sukakan watak aksi dan sudah lama impikan. Menerusi drama Gerak Khas Under Cover, saya berpeluang melakukan adegan lasak.



“Sewaktu di zaman sekolah, saya sering menonton drama Gerak Khas. Namun, siapa sangka saya ditawarkan berlakon dalam produksi Skop Production.

“Apabila menerima tawaran, saya tidak tunggu lama untuk bersetuju kerana saya tahu produksi itu mempunyai reputasi baik. Selain itu, saya juga tertarik dengan watak yang ditawarkan,” katanya.

Selain drama Gerak Khas Under Cover, Elizabeth bakal menjayakan telefilem bersama Hazama, selain muncul dalam karya untuk tayangan platform iflix.

Tidak hanya drama, Elizabeth turut membintangi beberapa filem, namun ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), filem yang sudah siap seperti Escape, Abang Long Fadhil 3, Mat Bon Raya dan beberapa judul lagi masih ‘tersangkut’ gara-gara COVID-19.


Artikel Berkaitan :

Layari Laman FB MYKMU


 

Benar saya sudah berkahwin – Elizabeth Tan

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker