Benar saya sudah berkahwin – Elizabeth Tan


Pelakon dan penyanyi Elizabeth Tan akhirnya meleraikan spekulasi berhubung status perkahwinannya selepas mengaku telah berkahwin dengan seorang jejaka yang juga ahli perniagaan Siew Jim berusia 30 tahun semalam.

Elizabeth atau lebih mesra disapa Lizzy, 28, turut memohon maaf apabila berita tersebut tular sebelum sempat mengeluarkan kenyataan rasmi sendiri.

“Saya memang rancang nak umum kepada semua apabila sudah bersedia. Saya ambil keputusan untuk tidak menghebohkan hal perkahwinan kerana merasakan ini adalah isu kecil sahaja.

“Mengenai gambar dan video yang tersebar menyatakan saya sudah berkahwin adalah benar. Majlis semalam (Sabtu) adalah bersifat intimate (peribadi) dan kecil sebagai langkah mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya menerusi satu kenyataan ringkas kepada media.

Tambah pelantun lagu Knock-Knock dan Semua Sudah itu, dia berpendapat perkahwinan merupakan satu perkara yang berbentuk peribadi.

“Sekali lagi, saya minta maaf kerana tidak dapat menjemput ahli keluarga lain, media dan rakan-rakan terdekat.

“Bagi saya, memilih untuk berkahwin ini tidak mengubah apa-apa pun. Saya masih orang yang sama. Saya harap semua dapat terima dan hormat keputusan ini,” tambahnya.

Difahamkan, majlis perkahwinan tersebut diadakan di sebuah gereja di Gombak, Selangor dan dihadiri seramai 10 orang ahli keluarga terdekat.

Lizzy dikahwinkan bapanya sendiri pada majlis serba ringkas semalam.
Sejak pagi tadi, spekulasi perkahwinan pelakon filem Misteri Dilaila itu tiba-tiba tercetus berikutan tular beberapa keping foto majlis perkahwinannya dalam laman sosial.

Lebih menguatkan keyakinan khalayak, beberapa keping foto majlis perkahwinan selebriti itu dikongsikan sendiri oleh seorang pengguna Facebook bernama David Tan Suan Chew yang difahamkan bapa kepada Elizabeth Tan.

Januari lalu, Lizzy turut menjadi perhatian apabila tular fotonya lengkap dengan gaun putih dan didakwa sudah bernikah. Namun, foto tersebut merupakan babak dalam video klip lagu terbaharunya, Beku gandingan bersama Hazama. K Online

TERSEBAR DI MEDIA SOSIAL – ELIZABETH TAN SUDAH KAHWIN?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker