PRU15: Tiada siapa berhak halang Mahathir tanding, kata Zuraida
Tiada siapa berhak menghalang bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bertanding pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Zuraida Kamaruddin.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, Malaysia adalah negara demokrasi, justeru tidak salah jika Ahli Parlimen Langkawi itu mahu bertanding biarpun sudah berusia 95 tahun.
“Malaysia sebuah negara mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi, jadi sesiapa pun termasuk Dr Mahathir berhak menjadi calon di mana-mana kerusi Parlimen.
“Tiada had umur untuk seseorang menjadi calon. Jadi, sesiapa saja yang layak boleh bertanding tiada masalah. Terpulang kepada diri masing-masing,” katanya ketika ditemui dalam majlis ceramah agama dan penyampaian sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada anak kakitangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Sebelum ini FMT melaporkan, Mahathir berkata penyokong beliau mungkin akan memaksanya bertanding dalam pilihan raya akan datang.
Dalam temu bual dengan Dialektika TV di Facebook, beliau menyuarakan keengganannya untuk bertanding dalam pilihan raya.
“Saya tak nak bertanding, tapi orang saya susah kalau saya kata tak nak bertanding, ‘they get mad’ (mereka marah). Saya tak tau nak buat apa,” katanya.
“Saya terpaksa ikut orang yang sokong saya. Dari dulu pun bukan nak bertanding, tapi orang yang nak saya bertanding.” FMT
You must be logged in to post a comment.