Agong zahir tahniah, bangga atas kejayaan Pandalela meraih emas di kejohanan dunia



Sebaran :

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada penerjun negara, Pandelela Rinong atas kejayaan meraih pingat emas dalam acara 10 meter platform individu wanita, pada Kejohanan Piala Dunia Terjun FINA di Jepun, semalam.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan Pandelela meraih pingat emas pertama buat skuad negara di kejohanan itu, sekali gus melakar sejarah baharu buat sukan terjun negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Seri Paduka Baginda menyifatkan pencapaian Pandelela ini sebagai kejayaan yang amat bermakna kepada Malaysia dan juga sebagai suntikan semangat kepada beliau untuk meneruskan buruan pingat di Temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini,” menurut kenyataan dimuat naik di Instagram Istana Negara, hari ini.



Al-Sultan Abdullah bertitah pencapaian cemerlang penerjun kebangsaan kelahiran Sarawak itu sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber serta bertaraf antarabangsa.

“Ia juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia,” menurut kenyataan itu.



Selain itu, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan semoga kejayaan dan semangat perjuangan Pandelela turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet di negara ini untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing sama ada di dalam negara mahupun di persada antarabangsa.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Pandelela dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama negara di Temasya Sukan Olimpik Tokyo, Julai ini,” menurut kenyataan itu.

Pandelela, 28, mempamerkan terjunan bertenaga dan meyakinkan untuk mengungguli final yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo, Jepun dengan mengumpul 355.70 mata selepas melengkapkan tujuh terjunan dan mengatasi penerjun tuan rumah, Matsuri Arai (342.00 mata) dan Caeli McKay dari Kanada (338.55 mata) masing-masing di tempat kedua serta ketiga.



Kejayaan meraih pingat emas itu menjadikan Pandelela satu-satunya atlet yang menyumbang pingat buat pasukan terjun negara yang menggalas cabaran ke Piala Dunia kali ini.

Pandelela, Leong Mun Yee, Wendy Ng Yan Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Cheong Jun Hoong bakal menggalas cabaran negara dalam acara terjun di temasya Sukan Olimpik Tokyo yang dijadualkan pada 23 Julai hingga 8 Ogos.
Pada Temasya Sukan Olimpik London 2012, Pandelela meraih pingat gangsa dalam acara yang sama.

— BERNAMA



Like FB MyKMU disini


Sebaran :


Leave a Reply