Gastrik bukan alasan untuk tidak berpuasa – Pakar kesihatan



Sebaran :


Masalah gastrik yang dialami oleh sesetengah orang tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak menunaikan ibadah puasa yang merupakan rukan Islam ketiga.

Pakar pemakanan dari Pusat Pengajian Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Dr Norazmir Md Nor berkata, mereka yang telah lama menghidap penyakit itu sepatutnya membuat persiapan tertentu bagi membolehkan mereka menjalani ibadah puasa dengan lancar.

“Sebelum Ramadan, biasakan diri dengan berpuasa, mungkin hari ini separuh hari, esok lusa boleh dilanjutkan lagi mengikut ketahanan perut. Secara tidak langsung, individu itu boleh menyesuaikan diri dengan keadaan enzim perut supaya perut tidak ‘terkejut’ apabila perlu berpuasa.



“Sebab itu, amalan berpuasa perlu dididik sejak kecil untuk dibiasakan dengan fisiologi tubuh dengan keadaan tiada makanan dalam tempoh tertentu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pada masa yang sama, katanya mereka juga perlu memilih makanan yang bersesuaian selain perlu makan dalam jumlah sederhana, sama ada ketika bersahur atau berbuka.

“Ketika bersahur, elakkan daripada mengambil makanan pedas, berminyak dan berempah serta minuman yang mempunyai kafein tinggi seperti teh dan kopi.



“Sewaktu berbuka pula digalakkan untuk mengambil makanan ringan terlebih dahulu sebelum menikmati hidangan berat selain perlu minum air kosong yang banyak agar tubuh tidak mengalami dehidrasi,” katanya.

Menurutnya gastrik berlaku disebabkan jus atau enzim gaster dalam perut dirembeskan untuk mencerna makanan pada waktu tertentu dan ketika berpuasa enzim itu tetap dikeluarkan walaupun dalam kadar yang sedikit menyebabkan perut menjadi pedih.

Bagi seorang pesakit gastrik Khairul Anwar Mat Hassan,35, mengakui penyakit itu hanya dialami ketika bulan Ramadan, namun itu tidak dijadikan sebagai halangan untuk terus berpuasa.



Menurut usahawan dari Pasir Puteh, Kelantan itu, beliau mula menghidap penyakit gastrik semasa menuntut di pusat pengajian tinggi sekitar 2007 akibat tekanan belajar sehingga terlalu kerap meninggalkan waktu makan.

“Untuk memastikan terus berpuasa, doktor menasihatkan saya untuk menukar pola pemakanan dan jenis makanan yang diambi selain turut dibekalkan dengan ubat antasid yang berfungsi untuk meneutralkan asid perut yang berlebihan,” katanya.

Bagaimanapun keadaannya agak berbeza untuk Norida Mohammad Nasir, 42, yang menghidap penyakit gastrik yang serius sehingga ada masanya terpaksa meninggalkan ibadah itu kerana tidak mampu menahan kesakitan.



“Saya kena gastrik berpunca daripada ubat migrain yang menyebabkan perut saya ada ulser dan pernah menjalani pemeriksaan endoskopi. Apabila gastrik mula menyerang, saya akan mengalami rasa pedih ulu hati, perut memulas, menggigil serta loya,” katanya.

Doktor juga menyarankannya agar tidak berpuasa kerana khuatir tindakan itu menyebabkan komplikasi gastrik yang semakin teruk, namun beliau tetap mencuba untuk ibadah itu jika berkemampuan. Bernama

Puasa Nak Dekat Tapi Selalu Sakit Kepala, Apa Nak Buat?


Sebaran :


Leave a Reply