Ejen insurans ‘keldai dadah’ ditahan bersama ganja lebih 18kg


Tindakan seorang wanita membawa bagasi milik rakannya dari Kuala Lumpur ke Sarawak menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) mengundang padah, apabila ditahan selepas dadah jenis ganja ditemukan dalam bagasi itu.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak Herman Shah Abdullah berkata, wanita berusia 27 tahun yang bekerja sebagai ejen insurans separuh masa itu, ditahan Unit Khas Pemeriksaan Penumpang JKDM di LTAK Rabu lepas, selepas ganja itu ditemukan dalam bagasi berkenaan.

“Hasil imbasan menunjukkan imej mencurigakan dan pemeriksaan rapi ke atas bagasi dilakukan membawa kepada penemuan 18 bungkusan dibaluti kertas pembalut hadiah dan kertas karbon, mengandungi daun tumbuhan mampat disyaki ganja,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata, semua dadah itu dianggarkan seberat 18.264kg dengan anggaran nilai RM45,660, dan suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.



Beliau tidak menolak kemungkinan wanita berkenaan mempunyai kaitan dengan penemuan 18.692kg dadah disyaki ganja bernilai kira-kira RM46,730 Sabtu lepas, di dalam sebuah bagasi yang tidak dituntut lebih sebulan lalu di LTAK.

Herman berkata, bagasi itu dibawa masuk menerusi sebuah penerbangan domestik dari Kuala Lumpur pada 2 April lepas dan menerusi maklumat diperoleh, bagasi itu didaftarkan atas nama seorang penumpang yang menjalani kuarantin, sebaik tiba di sini pada hari berkenaan.

“Bagasi itu telah disita untuk siasatan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pengesanan terhadap pemilik bagasi itu berdasarkan rekod syarikat penerbangan akan dijalankan, dan pihak JKDM percaya tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.
Bernama

Kanak-kanak tiga tahun berkelakuan aneh positif dadah selepas dijaga bapa tiri



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker