Kami bukan orang ‘berada’, kereta, rumah hasil usaha suami berniaga 16 tahun, kata isteri penjual burger
Isteri kepada peniaga burger yang tular selepas dikompaun RM50,000 baru-baru ini menafikan mereka keluarga “berada”.
Norlaili Shafii berkata, gambar rumah dan kereta Honda Civic yang ditularkan oleh pengguna media sosial itu adalah hasil usaha suaminya selama 16 tahun menjual burger.
“Kereta dan rumah itu dibeli pada 2018 sebelum Covid-19. Bukan beli sebab baru setahun meniaga burger. Kita bayar bulan-bulan. Bukan beli tunai. Jadi kalau tak meniaga nak bayar dengan apa,” katanya kepada FMT.
Laili berkata, sebelum ini dia dan suami, Wan Mohd Faisal Wan Kadir menempuh pelbagai cabaran dan ada ketika menjual burger di tepi jalan.
Katanya, kompaun yang dikenakan pihak berkuasa sememangnya terlalu tinggi dan tidak mampu dibayar kerana hanya meraih pendapatan melalui penjualan burger sepenuhnya.
Terdahulu, tular gambar rumah dan kereta milik Faisal dan warganet mendakwa mereka daripada keluarga “berada”.
Dalam pada itu, Laili lega apabila nilai kompaun berkenaan dipertimbang untuk dikurangkan oleh pihak berkuasa.
Beliau menyambut baik tawaran itu berikutan tidak mampu membayar jumlah kompaun yang terlalu tinggi.
Bagaimanapun, Laili berkata setakat ini mereka masih menunggu pihak Kementerian Kesihatan Daerah Kota Bharu memaklumkan jumlah kompaun yang akan dikurangkan
“Kita sambut baiklah kalau polis kata boleh kurangkan kompaun. Kalau nak bayar RM50,000 memang kami tak mampu bayar. Kalau RM1,000 macam kali pertama kena kompaun dulu kami dah bayar,” katanya.
Laili memaklumkan suaminya pernah dikompaun kali pertama pada Januari lalu kerana berniaga melebihi masa ditetapkan dan sudah membayarnya.
Hari ini, media melaporkan pemilik gerai burger, kedai runcit dan gerai colek yang dikompaun RM50,000, boleh menarik nafas lega apabila nilainya dipertimbang untuk dikurangkan.
Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat, berkata keputusan itu dicapai hasil perbincangan antara pihaknya bersama Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), semalam.
Beliau berkata, hasil perbincangan itu, polis Kelantan akan mengambil tindakan mengikut garis panduan penetapan nilai tawaran kompaun bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan peraturan bawahnya.
Sebelum ini, kisah Faisal yang berniaga burger di depan rumah dikompaun RM50,000 kerana dikatakan beroperasi melebihi masa ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) tular di media sosial.
Dia didatangi polis kira-kira 11 malam Ahad lalu, ketika menyiapkan tempahan pelanggan di sekitar rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Kota Bharu, Kelantan. FMT
Peniaga burger tular didakwa hidup mewah, dah langgar SOP sebelum ini
You must be logged in to post a comment.