“Jangan sampai umat Islam fobia dengan sijil halal”


Sudah sampai masanya pemegang-pemegang sijil halal di negara ini mempunyai mekanisme dalaman sendiri untuk mengawal dan memantau perjalanan pengurusan halal syarikat supaya tiada ruang untuk berlaku sebarang pencemaran dan percanggahan terhadap syarak.

Audit dan pemantauan oleh JAKIM atau JAIN, menilai pencapaian sahaja. Dengan jumlah anggota pegawai JAKIM dan JAIN yang hanya beberapa kerat di seluruh Malaysia, mustahil setiap premis boleh dipantau setiap masa.

Sekiranya syarikat pemegang sijil masih gagal memberi jaminan kepada pengguna, maka isu-isu halal menjadi fobia berterusan.

Tambahan lagi dalam konteks masyarakat Melayu, mereka terlalu fobia dengan apa jua bentuk yang dikaitkan dengan babi dan merasa jijik apabila perkataan tersebut disebut secara terang di hadapan mereka.



Sudah tentulah jauh sekali untuk menjadikannya sebagai makanan atau menu hidangan. Maka tidak mustahillah apabila ada pihak hotel yang ingin memperkenalkan “Bah Ku Teh” sebagai menu halal, keseluruhan orang Melayu rasa marah kerana istilah tersebut sememangnya bagi hidangan sup tulang babi dalam tradisi masyarakat Cina.

Kononnya cara ini salah satu strategi untuk menarik minat pelancong asing dalam masyarakat majmuk untuk menggambarkan kesatuan rakyat dalam pelbagai budaya dan agama.

Sebaliknya orang Melayu tidak mungkin boleh menerimanya untuk dijadikan menu halal sungguhpun kandungannya ditukarkan dengan ramuan halal.

Gambaran ini menunjukkan betapa sensitif orang Melayu terhadap isu halal dalam budaya Melayu turun temurun sebagai tradisi. Sensitiviti ini kadangkala hanya menjadi teras budaya, tetapi bukan hakikat kesedaran agama.



Ini dapat dilihat dalam banyak kes-kes orang dewasa, malah para remaja tidak segan silu mengambil arak secara terbuka. Kes-kes kemalangan jalan raya, mat rempit dan lumba haram sering kali dapat dikesan bahawa mereka sememangnya mengambil alkohol-arak.

Tetapi mungkin terlalu sukar untuk menemui rekod kes Mahkamah Syariah orang Melayu didakwa memakan babi.

“Inilah kesan positif orang Melayu fobia terhadap babi, kalau tidak ramai pula orang Melayu makan babi!”

Fobia pengguna kadangkala menjadi melampau dan membabi buta seperti kehilangan punca. Contohnya kod E471 pada semua produk sering kali didakwa bersumberkan lemak atau minyak babi.



Jika barangan tersebut datang dari luar negara, mungkin ia boleh diterima akal disebabkan produk makanan import khususnya tidak mengambil kira prinsip halal-haram. Kecualilah disahkan oleh mana-mana persatuan Islam di luar negara.

Perlu ambil tahu kod makanan

Masyarakat awam memang sukar memahami kod-kod yang digunakan dan peranan kod-kod tersebut untuk mewakili bahan-bahan yang digunakan seperti pewarna, asid, perisa, ramuan, lemak dan sebagainya.

Bagaimanapun, bagi Malaysia yang mempunyai pengurusan halal yang tersusun, mengesahkan perkara tersebut. Lazimnya, di Malaysia bahan lemak atau minyak, bersumberkan soya atau kelapa sawit. Sebenarnya, bukan kod E471 sahaja malah kumpulan meliputi E400-E499.



Maknanya, persoalan kod terhadap produk yang dikeluarkan di Malaysia sudah dikenal pasti. Persoalan keraguan terhadap E Kod bagi produk dalam negara boleh dikelaskan darjah kedua jika tidak ada pengesahan halal.

Pengguna sepatutnya meletakkan tahap keraguan yang lebih tinggi bagi produk import yang tidak disahkan halal atau hanya menggunakan lambang halal yang tidak pasti.

Maknanya sebagai pengguna kita telah mengguna kuasa memilih dan membeli dengan bijaksana bagi kegunaan peribadi dan keluarga. Catatan-catatan di dada-dada akhbar, majalah, ulasan-ulasan di laman sesawang dan TV tentang isu-isu halal menjadi rekod hitam menyebabkan isu halal sentiasa menjadi panas.

Deretan isu halal dapat disaksikan dengan jelas seperti isu rumah sembelih, DNA babi, kek, roti, pencampuran babi-ayam (bayam), mi, minyak sapi dan entah segala kemungkinan kes-kes halal yang bakal dicatatkan oleh para wartawan.



Andainya isu fobia halal datang dari bukan Islam yang tidak terdedah dengan cara hidup masyarakat dan budaya Islam, ia boleh diterima akal. Mereka boleh mencipta apa sahaja alasan kerana laras pemikiran mereka berada di luar pemikiran kita.

Apa yang kita risau ialah pelanggaran terhadap prosedur-prosedur halal yang menyebabkan boleh dihukum di bawah akta Akta Perihal Dagangan (APD).

Malah secara langsung mencederakan hati-hati umat Islam menyebabkan mereka sendiri fobia dengan logo halal sekali gus menghilangkan kepercayaan terhadap badan pensijilan halal.

Kegelisahan tentang barangan halal mestilah dilihat penyelesaian menyeluruh meliputi kompetensi badan pensijilan halal, keadilan undang-undang, komitmen, integriti dan ketelusan pemegang sijil halal serta kebijaksanaan para pengguna Muslim.



Keharusan pemakaian penandaan halal di kalangan orang bukan Islam tidak boleh menjadikannya lesen besar dari segi undang-undang perdagangan. Pengesahan halal bukanlah seperti memperbaharui lesen kenderaan, cukup dengan bayaran.

Pengesahan halal bukan sahaja terikat dengan undang-undang negara malah hukum-hakam yang didukung oleh setiap jiwa dan individu Muslim.

Memandangkan halal-haram teras kehidupan masyarakat Islam, maka merekalah hakim tertinggi dan mahkamah terbuka yang paling berkuasa sama ada menerima atau menolak barangan halal di pasaran. Ini kerana jenama halal adalah hak eksklusif umat Islam. Wallhu a’lam

Oleh: LOKMAN AB. RAHMAN Jab. Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Syarikat, 2 pengarah didakwa guna logo halal tanpa diperakui

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker