Aaron Aziz masih terima tawaran lakonan meski sibuk berniaga


Genap 20 tahun pembabitan dalam bidang lakonan, pelakon terkenal, Datuk Aaron Aziz berjaya meletakkan dirinya di kelas tersendiri.

Sepanjang tempoh itu pelbagai kejayaan diraih bukan saja di Malaysia, tapi juga di negara kelahirannya, Singapura. Sekali gus menjadikan Aaron antara pelakon yang kekal relevan sehingga kini.

Meluahkan rasa syukur apabila masih dihujani tawaran berlakon drama dengan memegang watak hero, walaupun ramai bakat muda dan baharu muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Berkongsi tentang kerjaya seni, Aaron bakal muncul drama Imam Ku Lelaki Pendosa terbitan Global Station Sdn Bhd yang akan ditayangkan di Slot Akasia, TV3.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada penerbit dan stesen televisyen yang masih memberi kepercayaan kepada saya. Diakui, drama ini antara karya yang memberi cabaran baharu buat saya dari segi karakter.

“Malah, dapat berlakon dengan pelakon baharu iaitu Sophia AlBarakbah turut memberi pengalaman baharu kepada saya di samping pelakon ternama sedia ada. Saya tidak mahu terlalu meletakkan harapan tinggi pada drama ini, tapi apa boleh dikatakan Insya-Allah, karya ini memang lain dari yang lain,” katanya.

Selain Aaron, drama arahan Eyra Rahman itu turut menampilkan Shima Anuar, Fauzi Nawawi, Gambit Saifullah, Aleza Shadan, Maria Farida, Edika Yusof, Hafeez Mikail, Anne Abdullah, Ungku Hariz, Kael, Annie Mosha, Faez Malek, Fiza Thomas, Ieda Moin, Betty Banafee dan Auni Zahra.

Dalam masa sama, Aaron juga terbabit dalam penggambaran drama Undercover terbitan Skop Production juga untuk tayangan TV3.

Mengalih bicara tentang kehidupan terkini, Aaron,45, terus mengorak langkah seiring kematangan usia dan kerjaya apabila dia kini mula terbabit dalam bidang perniagaan.

Melancarkan pelbagai produk di bawah jenamanya sendiri, siapa sangka Aaron juga sudah mampu berdiri sama tinggi dengan kebanyakan ahli perniagaan lain.

Masakan tidak, Aaron turut tersenarai sebagai penerima pada Malaysia Prestigious Industry Awards (MYPIA) yang berlangsung baru-baru ini. Penghargaan itu bukti bahawa dia tidak main-main dalam cabang perniagaan yang diceburi.

Terbaharu, Aaron muncul dengan koleksi pakaian ‘street wear’ menerusi jenama Hombre 21 yang mana ia satu lagi usaha ke arah membina empayar perniagaan dan mengukuhkan jenamanya dirinya.

Menurut Aaron, Hombre adalah perkataan yang diambil dari bahasa Sepanyol yang membawa maksud semangat persaudaraan atau ‘brotherhood’.

“Kalau ikutkan koleksi pakaian ini sudah dijual di Singapura. Selepas pemiliknya iaitu Azhar Sulaiman menjadi rakan perniagaan saya, itu yang ambil keputusan untuk pasarkan di sini pula. Saya mahu jenama Hombre ini menjadi pilihan masyarakat dan terkenal seperti kebanyakan jenama ‘street wear’ lain.

“Didatangkan dengan jaminan kualiti terbaik, saya yakin koleksi ini mampu memberi kepuasan kepada sesiapa saja yang memakai dan memilikinya. Dari segi harga pula, ia cukup berbaloi dengan rekaan dan kualiti yang ada iaitu RM100++,” ulasnya.

Antara koleksi Hombre 21 yang didatangkan dengan pelbagai rekaan
Menariknya, koleksi Hombre 21 itu didatangkan dengan lima rekaan dengan setiap daripadanya menceritakan kisah dan perjalanan hidup Aaron dari dulu sehingga sekarang.

Aaron menggambarkan bagaimana kehidupan silamnya ketika di zaman remaja yang dianggap sebagai zaman jahiliah sebelum menemui titik cahaya yang akhirnya menyinari hidupnya sehingga kini bersama isteri dan tiga anak tercinta.

“Setiap manusia ada masa silam dan gemilang. Ada yang untuk kebaikan, ada juga sebaliknya. Untuk saya, apa boleh dikatakan adalah masa silam yang penuh keperitan atau boleh dikatakan zaman jahiliah. Malah, saya akui pernah beberapa kali melampaui batas dan akhirnya mendapat balasan.

“Pelbagai cabaran dan dugaan perlu dilalui sebelum saya berjaya keluar dari kegelapan itu. Namun, itu semua yang mendewasakan dan mematangkan diri. Walaupun ada ketika dipandang hina, tapi saya percaya keadaan kita tak selamanya di bawah jika ada rasa ingin berubah. Itulah yang saya buat sehingga berada pada tahap sekarang. Betul, nak menjadi baik bukan senang. Tapi, bagi saya paling penting adalah pegangan diri perlu kuat selain saya sentiasa berfikiran positif.

“Jadi, kesemua koleksi ini sangat istimewa dan mempunyai nilai tersendiri. Saya mahu setiap orang memilikinya dan menjadikan ia koleksi peribadi. Mungkin ada antara mereka juga mempunyai cerita sama seperti saya,” ungkapnya.

Bukan sahaja bersifat ‘street wear’, koleksi Hombre 21 ini juga memiliki rekaan Islamik sekali gus menjadikan ia berbeza daripada rekaan jenama lain.

“Macam saya katakan, setiap koleksi mempunyai cerita tersendiri. Malah, dalam rekaan juga ada ciri khas yang bukan saja memberi keselesaan tapi juga sedap mata memandang. Kesemua koleksi Hombre 21 boleh didapati di laman web www.hombre21.store ,” jelasnya. Utv

Terjawab Punca Sebenar Kenapa Tahfiz Aaron Aziz Dirobohkan. Wanita Ini Tampil Cerita Satu Persatu

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker