Peniaga Pasar Besar Kepala Ingkar Harga Syiling
PETALING JAYA: Sebahagian besar peniaga di seluruh negara ingkar untuk mematuhi harga bahan mentah terutamanya ayam dan daging mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 yang berkuat kuasa semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia di pasar-pasar utama mendapati ayam standard dijual pada harga sebelum ini RM9 sekilogram berbanding harga siling RM7.90 sekilogram, manakala daging lembu tempatan RM40 sekilogram berbanding harga SHMMP yang disyorkan RM34.
Para peniaga memberi alasan tidak mempunyai pilihan selain mengekalkan kos lama bagi mengelak menanggung kerugian kerana masih dikenakan harga yang tinggi oleh pembekal walaupun menyedari tindakan itu boleh menyebabkan mereka dikenakan tindakan.
Sementara yang lain mengadakan alasan terpaksa menghabiskan stok barangan yang dibeli lebih awal daripada pembekal sebelum pelaksanaan harga SHMMP manakala segelintir sahaja yang mematuhi harga baharu diperkenalkan kerajaan.
Di Kedah, kerajaan negeri memberikan peniaga tempoh selama tiga hari untuk mereka menghabiskan stok lama sebelum mematuhi harga siling seperti diarahkan kerajaan.
Di KEDAH, peniaga ayam dan daging di Jitra serta Sungai Petani tidak mempedulikan harga disenaraikan dalam SHMMP 2021 dengan alasan terpaksa membeli pada harga tinggi daripada pembekal dan pemborong.
Seorang peniaga yang mahu dikenali Atan berkata, peniaga di pasar itu masih menjual ayam dengan harga mahal mengikut harga diperoleh pemborong.
Di JOHOR, peniaga daging lembu tempatan dan sejuk beku import masih menjual mengikut harga lama dan tidak mengikut SHMMP 2021 yang dikuatkuasakan mulai semalam.
Peniaga, Muhammad Lukman Ibrahim, 32, berkata, mereka terpaksa berbuat demikian dengan menjual pada harga RM40 sekilogram kerana harga pembekal terlalu tinggi mencecah RM38.
“Kalau kami ikut harga ditetapkan, kami rugi. Kami perlu mengambil kira tentang bayaran sewa, gaji pekerja serta kos-kos yang lain,” katanya ketika ditemui di Pasar Awam Larkin Sentral semalam.
Di PAHANG, kerajaan digesa mengkaji semula formula penetapan harga ayam hidup dan ayam standard untuk SHMMP 2021 supaya pemain industri berkenaan tidak terbeban.
Ini berikutan, harga sedia ada dikatakan tidak relevan kerana tidak mengambil kira faktor susut berat ayam hidup selepas diproses sekali gus merugikan pengusaha kilang pemprosesan ayam.
“Hari ini kami hanya untung RM20 sahaja selepas setengah hari berniaga,” keluhan peniaga ayam, Shahrom Mohammad, 40, tentang pendapatannya yang terjejas berikutan stok ayam yang dicatu pihak pembekal.
Menurutnya, hari pertama pelaksanaan SHMMP 2021, pembekal mula mencatu stok ayam berikutan ada segelintir kilang pemprosesan ayam ‘bercuti’.
“Hari ini kami hanya menerima bekalan ayam 20 ekor sahaja dan pembekal mencatu bekalan bagi membolehkan semua peniaga menerima bekalan ayam daripadanya.
Di PULAU PINANG, peniaga daging lembu tempatan dihimpit isu kenaikan harga apabila terpaksa dijual pada harga RM38 hingga RM40 sekilogram semalam.
Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Razak, 59, berkata, tindakan pihak pembekal yang enggan menurunkan harga memaksa peniaga menetapkan harga paling minimum.
“Bagaimana kami hendak menjual mengikut skim harga maksimum iaitu RM34 sekilogram sedangkan seekor lembu yang dibeli didatangkan dengan tulangnya sekali. Perkara ini boleh selesai sekiranya pihak pembekal menurunkan harga kepada RM25 hingga RM27 sekilogram.
“Saya memang akan tutup kedai sekiranya daging tempatan terpaksa dijual pada harga RM34 kerana kami berdepan kerugian sebanyak RM1,500 bagi setiap seekor lembu,” keluhnya.
Di NEGERI SEMBILAN, walaupun ramai terpaksa akur harga SHMMP 2021, masih terdapat peniaga menjual barangan keperluan melebihi harga ditetapkan.
Seorang peniaga ayam, Alizan Tambi, 50, berkata, penetapan harga ayam standard iaitu RM7.90 sekilogram disifatkannya sebagai tidak munasabah.
“Kami telah dapat harga ayam daripada pembekal juga sudah tinggi tetapi mereka minta kami jual pada harga RM7.90 dan ia berlangsung selama sebulan, tidak pernah terjadi skim harga berlangsung selama ini, ia betul-betul menindas golongan peniaga,” katanya.
Di KELANTAN, Pasar Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini masih mengekalkan harga lama ayam standard RM8.80 sekilogram, berbanding RM7.90.
Peniaga-peniaga memberi alasan akan menanggung kerugian jika menjualnya pada harga RM7.90 sekilogram.
“Kami beli bekalan ayam pun harganya sudah mahal, memang tak bolehlah guna harga itu (RM7.90),” kata salah seorang peniaga tanpa mahu melayan lebih lanjut pertanyaan wartawan yang menyamar sebagai pembeli.
Di TERENGGANU, kebanyakan peniaga ayam di Pasar Bukit Besar di sini menyifatkan mereka sudah berputus asa untuk meneruskan perniagaan ekoran penguatkuasaan harga SHMMP 2021 yang dianggap tidak berpihak kepada mereka.
Seorang peniaga, Mohd. Anuar Mohd. Rashid, 36, berkata, langkah kerajaan mengawal kenaikan harga barangan basah itu tidak bersifat menyeluruh, sebaliknya hanya membunuh masa depan peniaga yang kini ibarat kais pagi, makan pagi.
Di PERAK, peniaga tidak setuju dengan harga ayam standard pada RM7.90 sekilogram.
Tinjauan di Pasar Awam Batu Gajah mendapati rata-rata peniaga ayam berasa serba salah untuk menjual ayam pada harga mahal, namun terpaksa akur dengan harga maksimum ditetapkan.
Menurut peniaga ayam di pasar itu, Azwa Abdul Malek, 49, setiap kali musim perayaan, kerajaan akan menetapkan harga kawalan dan peniaga akan mengalami kerugian. – UTUSAN