Kerajaan dari dulu tak serius isu sekolah vernakular!

SJKC sedia ada patut diberi tempoh tukar status kepada satu aliran

Pertambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) antara bukti kerajaan dahulu – Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) – tidak pernah serius isu sekolah vernakular yang jelas bertentangan dengan Perlembagaan. 

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, masalah integrasi kaum adalah masalah serius yang sepatutnya difikirkan oleh kerajaan.

Justeru, penambahan sekolah kebangsaan adalah lebih baik untuk negara sekiranya terdapat keperluan membina sekolah baharu. 

“Bahkan kewujudan SJKC sedia ada juga perlu diberi tempoh masa untuk bertukar status kepada sekolah satu aliran.

“Ini kerana, ketegasan di dalam menyatukan aliran pendidikan adalah di antara kunci ke arah integrasi kaum untuk jangka panjang,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini. 

Beliau berkata demikian mengulas isu pembinaan SJKC Too Joon Hing di Bandar Kinrara, sehingga mendapat tentangan kebanyak penduduk di kawasan – yang dipercayai majoriti Melayu itu.

Sehingga kini, isu pembinaan SJKC baharu di Bandar Kinrara masih belum mendapat respon daripada Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, meskipun timbalannya, Datuk Dr Mah Hang Soon sudah mengeluarkan kenyataan.

Hang Soon sebelum ini membidas pihak yang mempertikaikan pembinaan SJKC baharu itu, dengan menegaskan supaya isu berkenaan tidak dipolitikkan.

Hang Soon mendakwa, SJKC Too Joon Hing adalah antara 10 SJKC yang diluluskan oleh kerajaan ketika pemerintahan BN 2017 atas permohonan MCA.

Dakwanya, lokasi asal pembinaan ini ketika diluluskan ialah Taman Putra Prima Puchong, tetapi telah ditukar ke Bandar Kinrara Seksyen 5 ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

“Oleh kerana prosedur pertukaran ini telah selesai, KPM telah mengeluarkan permit kelulusannya dan diserahkan kepada jawatankuasa pembinaan sekolah ini pada bulan Mei tahun lepas,” katanya.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker