Politik ‘serba salah’ ala Mahathir


Oleh Zulkiflee Bakar

HAKIKATNYA penulis ada pelbagai perasaan bila tengok Tun Dr.Mahathir Mohamad sanggup berpanas di bulan Ramadan untuk hantar memorandum di Istana Negara bagi meminta Darurat ditamatkan.

Penulis ‘kagum’ sebab dua bulan lagi, Dr.Mahathir akan berusia 96 tahun. Bayangkan dalam usia yang begitu lanjut, beliau sanggup buat macam tu. Nampak sangat ‘nafsu’ politik bekas Perdana Menteri itu tidak pernah padam.

Patutlah baru-baru ini beliau kata di Langkawi serba salah untuk buat keputusan sama ada akan bertanding atau tidak dalam PRU-15. Sebenarnya perasaan itu bak kata orang…’cakap orang politik sahaja’.

Kalau kata dah buat keputusan tidak mahu bertanding, tak payahlah bertanding. Kenapa nak serba salah pulak? Tak kan Dr.Mahathir tidak yakin orang lain boleh ganti tempat beliau di Langkawi. Datuk Seri Mukhriz kan ada, suruh beliau bertanding di pulau lagenda itu, Dr.Mahathir boleh jadi penasihat.

Bila tengok gelagat dan kenyataan Dr.Mahathir dalam tempoh beberapa hari ini termasuk semalam, perasaan serba salah itu bukan sangat pasal ada orang suruh terus bertanding lagi tetapi Ahli Parlimen Langkawi itu masih ada ‘perjuangan belum selesai’.

Beliau sanggup terpacak di depan Istana Negara sebab marah tak habis lagi kat Tan Sri Muhyiddin Yassin. Macam-macam beliau kata kat Muhyiddin. Seronoknya, kalau kaji kenyataan beliau sejak tidak lagi menjadi Perdana Menteri termasuk semalam, sesuai sangat kalau Dr.Mahathir baca balik puisi ‘Melayu Mudah Lupa’.

Terbaru beliau kata, orang Melayu mula marah kepada Istana dan mendakwa Muhyiddin mengisytiharkan darurat secara tidak sah dan menggunakan kuasa tersebut untuk melaksanakan pemerintahan diktator.

Jika mahu bercakap soal marah, rasanya Dr.Mahathir lupa, orang Melayu sudah lama marah kepada beliau. Adakah orang Melayu tidak marah kepada Dr.Mahathir apabila beliau ‘bergaduh’ dengan Tengku Razaleigh Hamzah sehingga terlahirnya Semangat 46 sekaligus menyebabkan orang Melayu berpecah?

Adakah orang Melayu tidak marah, apabila beliau memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga huru-hara negara dan akhirnya PKR ditubuhkan?

Adakah orang Melayu tidak marah apabila Dr.Mahathir terus mengkritik sesiapa sahaja yang menjadi Perdana Menteri seolah-olah beliau sahaja paling bijak menguruskan negara? Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Najib Tun Razak, sekarang Muhyiddin dan sebelum itu, Tunku Abdul Rahman.

Adakah orang Melayu tidak marah apabila Dr.Mahathir selalu bercakap orang Melayu malas dan macam-macam lagi?

Adakah orang Melayu tidak marah apabila Dr.Mahathir keluar masuk UMNO, kemudian menubuhkan Bersatu dan kini Pejuang?

Adakah orang Melayu tidak marah apabila beliau sanggup bekerjasama dengan Pakatan Harapan yang disertai oleh PKR,DAP dan Amanah untuk menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional?

Adakah orang Melayu tidak marah apabila beliau meletakkan jawatan secara tiba-tiba hingga negara menjadi kelam-kabut? Adakah orang Melayu tidak marah apabila semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri pindaan Perlembagaan dilakukan bagi mengehadkan kuasa raja-raja?

Adakah Dr.Mahathir lupa bahawa beliau dahulu juga dianggap diktator kerana dituduh menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Rahsia Rasmi (OSA) serta didakwa mencampuri urusan institusi kehakiman?

Adakah Dr.Mahathir lupa apa yang pemimpin-pemimpin PH pernah katakan kepada beliau semasa beliau berkuasa dahulu?

Kalau Dr.Mahathir mahu segala hujah, alasan dan tindakan beliau ketika menjadi Perdana Menteri diterima, kenapa pula tak boleh terima segala tindakan Perdana Menteri selepas beliau termasuk Muhyiddin? Kenapa tidak boleh terima bahawa setiap Perdana Menteri ada cara sendiri dalam menguruskan negara.

Contohnya, Dr.Mahathir terus pertahan ISA, OSA, Najib laksanakan GST, hapuskan ISA dan Muhyiddin pula mohon pengisytiharan Darurat untuk tangani Covid-19.

Sudah berbuih mulut Muhyiddin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan, kenapa Darurat terpaksa dilakukan? Dan Kenapa sidang Dewan Rakyat tidak boleh diadakan?
Tetapi Dr.Mahathir dan kawan-kawannya dalam PH tak boleh terima.

Pi kumpul depan Istana Negara nak minta menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mohon perkenan ditamatkan Darurat. Alasannya rakyat marah? Rakyat mana?

Dr.Mahathir tahu tak setakat pagi 21 April 2021 memorandum merayu menarik balik pengisytiharan Darurat hanya 39,622 orang menandatangani petition berbanding dengan 32 juta rakyat Malaysia dan 14 juta yang mendaftar sebagai pengundi.

Yang orang Melayu marah Seri Paduka itu Melayu mana? Kalau setakat menjadikan komen-komen dalam media sosial sebagai ukuran, rasanya blog dan Facebook Dr.Mahathir pun beribu-ribu komen negatif terhadap beliau. Tu nak kira macam mana pulak?

Penulis faham isunya pembangkang dan segelintir pemimpin UMNO kata Muhyiddin jadikan Darurat sebagai ‘perisai’ untuk elak sidang Parlimen. Mereka kata, Perdana Menteri tidak ada majoriti sebab tu takut nak pi Dewan Rakyat.

Ini bukan soal ‘perisai’ atau ‘tidak’, ‘takut atau tidak’, isunya ialah bagi memudahkan urusan kerajaan dalam menangani Covid-19. Kalau pi Dewan Rakyat belum tentu apa yang dibentangkan akan diluluskan. Sebaliknya berbalah tak habis-habis, soal majoriti la, keabsahan la dan macam-macam lagi.

Cara Dr.Mahathir cakap semalam pun, kita sudah boleh faham. Katanya, ketika Muhyiddin memohon isytihar darurat, Ahli Parlimen Pagoh itu diragui mempunyai majoriti sokongan ahli Parlimen.

Kalau macam itu, apa jaminan Dewan Rakyat akan bersidang dengan tenang. Lebih baik biarkan sahaja Darurat berakhir pada 1 Ogos nanti. Lepas tu buatlah pilihan raya seperti mana Muhyiddin janji. Kenapa Dr.Mahathir nak kelam kabut sangat?

Jadi tak payahlah Dr.Mahathir menyusahkan diri ‘posa-posa’ ni berjemur tengah panas, lepas tu buat kenyataan bukan-bukan. 1 Ogos tak lama, empat bulan sahaja lagi. Sabar-sabarlah. Utv

Saya sudah terlalu tua untuk jadi PM sekali lagi – Mahathir

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker